5,000 peserta disasar sertai PDRM Tanjung Putra 188 Fun Run & Fun Ride 2026

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman (tengah) melancarkan PDRM Tanjung Putra 188 Fun Run & Fun Ride 2026 di Ibu Pejabat Polis Pahang hari ini./BERNAMA

KUANTAN, 10 Mac – Penganjur PDRM Tanjung Putra 188 Fun Run & Fun Ride 2026 menyasarkan 5,000 peserta menyertai acara yang dijadual berlangsung pada 23 Mei ini di Kuantan, Pahang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program anjuran PDRM Kontinjen Pahang bertujuan membudayakan gaya hidup sihat dan menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti riadah.
  • Diadakan sempena Hari Polis ke-219, ia menjadi platform merapatkan hubungan polis dan masyarakat serta menampilkan pameran kejayaan PDRM.
  • Menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk mempromosi Pahang melalui aktiviti sukan; menawarkan kategori Fun Run dan Fun Ride serta hadiah dan cabutan bertuah.

Program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang itu merupakan inisiatif bagi membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat selain menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti riadah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata penganjuran program tersebut juga bersempena sambutan Hari Polis ke-219 serta menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara pihak polis dan masyarakat.

Menurut beliau, program itu turut menampilkan pelbagai pameran berkaitan kejayaan dan peranan PDRM kepada orang ramai.

“Program ini diadakan sempena sambutan Hari Polis ke-219 dan kita mengajak masyarakat untuk bersama-sama hadir memeriahkan acara ini.

“Selain itu, kita turut menyediakan pameran kejayaan dan program pameran polis kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PDRM Tanjung Putra 188 Fun Run & Fun Ride 2026 di sini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Yahaya berkata penganjuran program berkenaan juga selari dengan usaha menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus membantu mempromosikan negeri Pahang, khususnya daerah Kuantan, sebagai destinasi pelancongan menarik melalui aktiviti sukan.

Acara tersebut menawarkan beberapa kategori penyertaan termasuk Fun Run sejauh lima kilometer dan 10 kilometer, selain Fun Ride kategori VIP sejauh 10 kilometer serta Fun Ride sejauh 50 kilometer.

Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran melalui laman Facebook PDRM Pahang sehingga 31 Mac ini, dengan yuran penyertaan antara RM50 hingga RM70 mengikut kategori.

Penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah menarik serta cabutan bertuah kepada peserta.