Pelayaran maut ke Kepulauan Canary ragut 14 nyawa

Foto VIORY

EL HIERRO, 30 November – Lima daripada 14 migran yang maut dalam tragedi bot di Lautan Atlantik dikebumikan di tanah perkuburan di Pulau El Hierro, Kepulauan Canary, Sepanyol pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa berada dalam bot nelayan tradisional cayuco yang ditemukan hanyut kira-kira 72 kilometer di selatan El Hierro.
  • Mangsa terselamat berkata mereka menghabiskan 10 hari di laut selepas memulakan perjalanan dari Banjul, Gambia.
  • Beberapa mangsa terselamat mengalami dehidrasi serius dan hipotermia, manakala enam dipindahkan menggunakan helikopter.
  • Dua bot membawa 219 individu tiba di El Hierro, sementara Sepanyol berjanji menambah kakitangan untuk memindahkan kanak-kanak tanpa pengiring.

Pengebumian itu dilakukan dua hari selepas bot yang membawa mangsa dan mangsa terselamat tiba di pelabuhan La Restinga.

Sembilan lagi mangsa turut dikebumikan pada hari sama, masing-masing empat di tanah perkuburan El Mocanal dan lima di El Pinar.

Kesemua mangsa berada dalam sebuah bot nelayan tradisional dikenali sebagai cayuco yang ditemukan hanyut di Lautan Atlantik, kira-kira 72 kilometer di selatan El Hierro.

Mangsa yang terselamat memaklumkan mereka telah menghabiskan masa selama 10 hari di laut selepas memulakan perjalanan dari Banjul, ibu negara Gambia.

Beberapa mangsa terselamat dilaporkan mengalami dehidrasi serius dan hipotermia, dengan enam daripadanya memerlukan pemindahan kecemasan menggunakan helikopter.

Menurut perkhidmatan penyelamat maritim Sepanyol, antara 14 mangsa yang maut ialah seorang lelaki yang pada awalnya terselamat, namun enggan dipindahkan dan memilih untuk terus berada di dalam bot bersama rakan-rakannya yang telah meninggal dunia sehingga tiba di daratan.

El Hierro kini menjadi antara laluan utama ketibaan migran melalui Atlantik, dengan kira-kira 2,000 migran dibawa ke darat pada 24 November lalu sahaja, yang dilaporkan sebagai rekod ketibaan harian tertinggi di laluan Kepulauan Canary.

Ketika pengebumian berlangsung, ketibaan migran di pulau itu masih berterusan apabila dua bot cayuco membawa keseluruhan 219 individu tiba antara malam Sabtu dan pagi Ahad.

Seorang lagi individu turut ditemukan meninggal dunia di dalam salah sebuah bot berkenaan.

Susulan tekanan terhadap kemudahan penempatan sementara, Sepanyol berjanji menambah kakitangan bagi mempercepatkan pemindahan kanak-kanak tanpa pengiring ke wilayah lain.

Sementara itu, Presiden Kepulauan Canary, Fernando Clavijo menggesa Kesatuan Eropah (EU) memperkukuh kerjasama dengan negara-negara Afrika Barat bagi menangani isu migrasi berkenaan. – VIORY.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.