
KUALA KUBU BHARU, 29 November –Kementerian Digital bercadang memperluas pelaksanaan program berkaitan teknologi digital ke enam kampung Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada suku pertama tahun depan.
- Program memperkenalkan teknologi baharu dan meningkatkan pengetahuan masyarakat Orang Asli tentang penggunaan serta manfaat teknologi digital.
- Kementerian Digital menaik taraf kemudahan fizikal dan infrastruktur Kampung Orang Asli Gerachi Jaya dengan peruntukan RM100,000.
- Sebanyak 15 komputer riba dan 30 tablet disediakan untuk membantu pembelajaran anak-anak penduduk dari sekolah hingga universiti.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif itu bertujuan memperkenalkan teknologi baru serta meningkatkan pengetahuan masyarakat Orang Asli mengenai penggunaan dan manfaat teknologi digital.
“Saya telah memberikan cadangan agar dalam suku pertama tahun depan kita dapat membawa bersama semua kampung Orang Asli di dalam DUN ini. Saya dimaklumkan ada enam kampung Orang Asli keseluruhannya dan kita nak buat satu program besar dimana kita dapat menonjolkan teknologi baru”,katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Program Santuni MADANI YB Menteri Digital di Kampung Orang Asli Gerachi Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan peranan kementerian memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti Orang Asli, mempunyai pengetahuan dan keupayaan memanfaatkan perkembangan teknologi digital.
Tambah beliau menerusi program berkenaan, Kementerian Digital turut melaksanakan kerja-kerja menaik taraf kemudahan fizikal dan infrastruktur Kampung Orang Asli Gerachi Jaya bernilai RM100,000.
Mengulas lanjut, projek yang telah siap sepenuhnya itu merangkumi kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil di sekitar kampung serta penyediaan stor simpanan untuk kegunaan penduduk.
Selain itu, sebanyak 15 unit komputer riba dan 30 unit komputer tablet turut disediakan untuk diagihkan kepada anak-anak penduduk kampung yang mengikuti pengajian di peringkat sekolah hingga universiti.
Gobind berharap kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pelajar, khususnya bagi membantu pembelajaran, meningkatkan pengetahuan serta menyokong kecemerlangan dalam pengajian.