Ujian MySiren disambut baik, penduduk lebih bersedia hadapi bencana

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 29 November -Pengguna telefon bimbit di Kelantan turut menerima notifikasi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilaksanakan serentak di seluruh negara kira-kira pukul 10.10 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk menyambut baik MySiren kerana amaran kecemasan dapat disampaikan dengan lebih pantas.
  • Sistem ini memudahkan orang ramai menerima amaran awal tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan.
  • Amaran lebih awal membantu penduduk, khususnya di kawasan berisiko banjir, membuat persediaan menghadapi kecemasan.

Orang ramai menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah positif kerajaan dalam memastikan maklumat berkaitan kecemasan dan bencana dapat disampaikan dengan lebih pantas kepada orang ramai.

Mereka juga menyambut baik pelaksanaan sistem berkenaan yang tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, sekali gus memudahkan penerimaan amaran awal dan membolehkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga ketika berlaku kecemasan.

“Kami sudah dimaklumkan dua hingga tiga hari lebih awal bahawa notifikasi itu akan diterima melalui telefon. Jadi, kami menunggu sekitar pukul 10.00 pagi dan berbual sesama sendiri sebelum notifikasi itu tiba serentak. Penduduk di sini sering berdepan bencana seperti banjir. Jika sistem seperti ini tidak dilaksanakan, sudah tentu kita kurang bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan,” kata penduduk Kelantan, Wan Husin Wan Yusoff.

“Pada mulanya, saya agak terkejut, tetapi selepas dimaklumkan lebih awal mengenai sistem amaran kerajaan ini, saya dapat memahaminya. Bagi saya dan rakan-rakan, kami menyambut baik inisiatif kerajaan ini kerana sekurang-kurangnya kita dapat lebih peka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan lebih awal,” kata penduduk Kelantan, Mohd Hafiz Ibrahim

“Pada saya, lebih cepat amaran disampaikan, lebih baik kerana ia dapat membantu penduduk kampung, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berhampiran sungai, membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan. Sekurang-kurangnya, kerajaan dapat menyalurkan amaran lebih awal melalui sistem ini demi kemudahan dan keselamatan orang ramai,” kata penduduk Kelantan, Mohd Shahrul Iruan Ab Satar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.