
SEOUL, 29 November – Agensi Perisikan Kebangsaan Korea Selatan (NIS) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menawarkan maklumat risikan berkaitan Taiwan kepada China sebagai pertukaran bagi membebaskan seorang rakyat negara itu yang ditahan Beijing.
- NIS menafikan China menetapkan penghentian aktiviti risikan balas sebagai syarat pembebasan tahanan.
- Laporan TV Chosun mendakwa usaha berkongsi maklumat Taiwan gagal selepas AS membantah, namun NIS menafikan bantahan Washington menjadi puncanya.
- Media digesa tidak membuat laporan tidak bertanggungjawab sementara usaha mendapatkan pembebasan rakyat Korea Selatan itu diteruskan.
NIS dalam kenyataan kepada AFP pada Ahad berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan pembebasan rakyat Korea Selatan berkenaan, namun menegaskan tidak pernah menawarkan maklumat risikan Taiwan kepada China.
“Dakwaan bahawa China mencadangkan supaya NIS menghentikan aktiviti risikan balas terhadap negara itu sebagai syarat pembebasan tahanan adalah tidak benar,” menurut kenyataan itu.
Penafian berkenaan menyusul laporan penyiar TV Chosun pada Khamis yang mendakwa NIS menawarkan untuk berkongsi maklumat risikan mengenai sebuah negara ketiga serta menghentikan kegiatan risikan balas terhadap China bagi mendapatkan pembebasan seorang pemberi maklumat.
Laporan itu, yang memetik pegawai tanpa nama, mendakwa usaha berkenaan gagal selepas pihak berkuasa perisikan Amerika Syarikat (AS) mengetahui negara ketiga yang dimaksudkan ialah Taiwan dan membantah cadangan itu.
Bagaimanapun, NIS turut menafikan rundingan pembebasan berkenaan gagal disebabkan bantahan Washington.
Menurut laporan akhbar JoongAng Ilbo, individu yang ditahan itu merupakan seorang jurutera semikonduktor yang direkrut oleh syarikat teknologi China, ChangXin Memory Technologies (CXMT), dari Samsung Electronics pada 2016.
Lelaki berkenaan dilaporkan kemudian berpindah ke sebuah lagi syarikat semikonduktor China sebelum ditahan pihak keselamatan negara di Hefei pada Disember 2023.
NIS bagaimanapun enggan mengesahkan identiti individu berkenaan.
Dalam pada itu, agensi berkenaan menggesa media supaya tidak membuat laporan secara tidak bertanggungjawab berhubung perkara sensitif itu ketika usaha mendapatkan pembebasan rakyatnya masih diteruskan.-AFP