CyberSecurity Malaysia, UKM bangunkan alat kesan video deepfake

Pakar Jabatan Perisikan Risiko Siber CyberSecurity Malaysia, Nazri Ahmad Zamani / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 November – CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang membangunkan alat pengesanan deepfake bagi membantu orang ramai mengenal pasti kesahihan kandungan video yang dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • CyberSecurity Malaysia dan UKM membangunkan alat untuk menganalisis video yang disyaki dimanipulasi menggunakan AI.
  • Sistem menghasilkan laporan peratusan kandungan video yang dijana AI dan kandungan asal bagi membantu menilai kesahihannya.
  • Ketepatan algoritma masih perlu ditambah baik, sementara kesedaran dan pendidikan masyarakat penting untuk mencegah penipuan deepfake.

Pakar Jabatan Perisikan Risiko Siber CyberSecurity Malaysia, Nazri Ahmad Zamani berkata, menerusi platform itu, pengguna boleh memuat naik video yang disyaki dimanipulasi untuk dianalisis.

Menurutnya, teknologi AI juga boleh dimanfaatkan sebagai benteng untuk mengesan dan membendung penyalahgunaannya, termasuk menghasilkan kandungan deepfake.

Menurut Nazri, penyelidikan dalam bidang pengesanan deepfake di peringkat global masih giat dijalankan dan memerlukan penambahbaikan, khususnya dari segi ketepatan algoritma.

“Penyelidikan dalam bidang pengesanan deepfake di peringkat global masih giat dijalankan dan memerlukan penambahbaikan, khususnya dari segi ketepatan algoritma.

“Sistem berkenaan mampu menghasilkan laporan yang menunjukkan peratusan kandungan video yang dijana menggunakan AI dan kandungan asal, sekali gus membantu pengguna membuat penilaian terhadap kesahihan sesuatu video.

“Sebagai contoh, sistem boleh menunjukkan 80 peratus kandungan video dijana AI, manakala 20 peratus lagi merupakan kandungan asal,” katanya.

Beliau berkata, keberkesanan teknologi penghasilan deepfake turut bergantung pada keserasian ciri wajah individu yang digunakan.

Justeru, teknologi berkenaan tidak semestinya menghasilkan keputusan yang sama bagi setiap individu.

Sehubungan itu, kesedaran dan pendidikan masyarakat perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan menggunakan teknologi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.