
KANGAR, 27 November – Kerajaan Negeri Perlis memperuntukkan RM362.62 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri.
- RM257.13 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM105.49 juta disediakan untuk pembangunan selaras dengan sembilan teras Perlis Progresif 2030.
- Hasil negeri bagi 2027 dianggarkan RM223.54 juta, termasuk RM146.76 juta daripada penerimaan bukan hasil.
- Hasil negeri pada 2025 meningkat kepada RM197.77 juta, kutipan tertinggi pernah direkodkan, sekali gus mengurangkan defisit kepada RM3.28 juta.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata,peruntukan itu bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi isi rumah, memperluas peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan kemudahan infrastruktur.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM257.13 juta atau 71 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan pembayaran emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian serta bayaran tetap dan perolehan aset.
Manakala RM105.49 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan, selaras dengan sembilan teras strategik Perlis Progresif 2030.
“Hasil Negeri Perlis bagi tahun 2027 dianggarkan berjumlah RM223.54 juta, merangkumi hasil cukai sebanyak RM39.65 juta, hasil bukan cukai RM37.13 juta dan penerimaan bukan hasil sebanyak RM146.76 juta.
“Sebanyak RM54.19 juta disediakan di bawah pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM11.73 juta untuk perolehan aset manakala perbelanjaan-perbelanjaan lain melibatkan RM2.45 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perlis 2027 bertemakan Perlis Progresif: Memacu Pertumbuhan, Menjana Kemakmuran hari ini.
Dalam pada itu, kedudukan fiskal Perlis menunjukkan pemulihan apabila hasil kerajaan negeri pada 2025 meningkat kepada RM197.77 juta, iaitu kutipan tertinggi pernah direkodkan.
Pencapaian itu turut menyumbang kepada pengurangan defisit negeri kepada RM3.28 juta.