
KUALA LUMPUR, 21 November – Teknologi pemalsuan imej atau deepfake bukan sahaja berisiko digunakan untuk penipuan kewangan, malah boleh memfitnah individu menerusi imej, suara atau video yang dimanipulasi sehingga menjejaskan reputasi.
- Manipulasi boleh menggambarkan seseorang melakukan perkara yang sebenarnya tidak pernah dilakukan.
- Individu berprofil tinggi, khususnya ahli politik, berisiko disasarkan dengan video atau gambar palsu.
- Kecerdasan buatan boleh membantu mengesan deepfake melalui pengecaman imej, video dan audio.
- Orang ramai perlu semak kesahihan dan gunakan platform pengesahan sebelum mempercayai atau menyebarkan kandungan digital.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohd Razif Shamsuddin berkata, manipulasi itu boleh menggambarkan seseorang melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan.
“Individu berprofil tinggi, khususnya ahli politik, juga berisiko menjadi sasaran deepfake apabila video atau gambar palsu dihasilkan sehingga menggambarkan mereka mengeluarkan kenyataan atau melakukan perkara tidak baik yang sebenarnya tidak pernah berlaku,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, dekat sini, hari ini.
Menurutnya, teknologi berkenaan juga boleh digunakan untuk memperdaya mangsa dari segi kewangan atau mempengaruhi mereka supaya melakukan sesuatu tindakan.
Jelasnya, teknologi kecerdasan buatan boleh dimanfaatkan untuk mengesan kandungan deepfake menerusi kaedah pengecaman imej, video dan audio.
Bagaimanapun, beliau berpendapat penglibatan orang ramai juga penting bagi menilai kesahihan kandungan digital, selain meningkatkan kewaspadaan terhadap maklumat yang diterima.
Justeru, masyarakat perlu menyemak kesahihan sesuatu berita atau maklumat terlebih dahulu sebelum mempercayai dan menyebarkannya, berikutan teknologi manipulasi digital semakin mudah diakses.
“Orang ramai boleh memuat naik imej atau video yang disyaki palsu ke platform berkenaan dan memberikan ulasan.
“Jika sesuatu berita disebarkan bersama imej atau video, orang awam juga boleh menyemak kandungan itu melalui laman web berkenaan,” katanya.