
KANGAR, 21 November – Pelaksanaan Program Bakti MADANI bersama komuniti merupakan antara inisiatif penting dalam membentuk sahsiah pelajar selain memperkukuh hubungan kemasyarakatan menerusi pelbagai aktiviti.
- Seramai 80 mahasiswa UniMAP terlibat, 40 ditempatkan bersama keluarga angkat di DUN Bintong.
- Program menyalurkan khidmat komuniti dan teras pembangunan komuniti bagi membentuk sahsiah mahasiswa.
- Komuniti setempat memperoleh manfaat terus melalui perkongsian ilmu dan kepakaran institusi pengajian tinggi.
- Aktiviti termasuk gotong-royong, Jom Turun Bendang, demonstrasi dron di bendang dan persembahan Hadrah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Ujung Bukit, Zulkifli Azelan berkata, penglibatan seramai 80 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam program berkenaan menjadi platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti setempat.
Daripada jumlah itu, seramai 40 pelajar ditempatkan bersama keluarga angkat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, melibatkan Kampung Wang Besar, Kampung Ujung Bukit, Kampung Teluk Jambu dan Kampung Syed Omar.
Program berteraskan khidmat komuniti dan penglibatan masyarakat dilihat bukan sahaja mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan penduduk setempat, tetapi turut membentuk sahsiah menerusi sumbangan berasaskan Teras Pembangunan Komuniti.
Beliau berkata, menerusi program seumpama itu, masyarakat setempat turut memperoleh manfaat secara langsung melalui perkongsian ilmu dan kepakaran yang dibawa oleh institusi pendidikan tinggi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Bakti MADANI UniMAP di Kampung Ujung Bukit yang terkenal sebagai antara kawasan agropelancongan di Perlis.
Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program termasuk gotong-royong bersama keluarga angkat, Jom Turun Bendang selain demonstrasi penggunaan dron di kawasan bendang dan persembahan kesenian Hadrah, sekali gus memperkenalkan mahasiswa kepada budaya, tradisi dan kehidupan masyarakat setempat.