Majlis Sama’ Hadis Antarabangsa: 40 ulama, ilmuwan berhimpun

Foto RTM


KUALA LUMPUR, 21 November
– Kira-kira 40 ulama dan ilmuwan tempatan serta antarabangsa, termasuk 10 ulama hadis yang mempunyai sanad periwayatan hadis dari lapan negara, bakal berhimpun di Masjid Putra, Putrajaya pada 23 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembacaan dan kupasan Jami' at-Tirmidhi serta Al-Syama'il Al-Muhammadiyyah secara riwayat dan dirayah oleh ulama tempatan dan antarabangsa.
  • Menghayati adab dan akhlak Rasulullah SAW sebagai asas pembentukan masyarakat, selaras tema Membangun Adab, Membina Negara.
  • Kemuncak termasuk syarahan perdana, pengijazahan sanad oleh Al-Allamah Abu Bakar al-Malibari dan majlis khatam hadis; penyertaan luas dan program percuma.

Perhimpunan itu berlangsung bersempena dengan Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ at-Tirmidhi dan Al-Syama’il Al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 yang dijadualkan bermula pukul 4 petang hingga 10 malam.

Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ahmad Saparudin Yusup berkata, antara negara yang terlibat ialah Pakistan, Bangladesh, Bahrain dan Yaman.

“Kelainan penganjuran tahun ini ialah selain pembacaan hadis Jami’ al-Tirmizi, kita turut mengadakan pembacaan secara riwayat dan dirayah bagi kitab Al-Syama’il Al-Muhammadiyyah, karya Imam al-Tirmizi yang menghimpunkan hadis berkaitan Rasulullah SAW.

“Kitab itu turut diberikan tumpuan khusus menerusi penerangan dan kupasan oleh ulama antarabangsa serta tempatan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, pertemuan ilmuwan itu turut menyasarkan penghayatan terhadap adab dan akhlak Rasulullah SAW sebagai asas pembentukan masyarakat, selaras dengan tema Membangun Adab, Membina Negara.

“Kekuatan sesebuah negara terletak pada masyarakat yang mempunyai adab kerana adab menjadi asas pembentukan peradaban.

“Justeru, masyarakat perlu mencontohi Rasulullah SAW melalui penerangan dan perbahasan oleh ulama tempatan serta antarabangsa,” katanya.

Ahmad Saparudin yang juga Penolong Setiausaha 1 majlis itu berkata, penganjuran Majlis Sama’ Hadis yang bermula pada 2023 dimulakan dengan pengajian Sahih al-Bukhari, sebelum diteruskan dengan Sahih Muslim pada 2024 dan Jami’ at-Tirmidhi tahun ini.

Kemuncak program pada 23 November turut menyaksikan syarahan perdana, pengijazahan sanad oleh ulama besar India, Al-Allamah Abu Bakar al-Malibari serta majlis khatam hadis.

Majlis itu menyasarkan kehadiran 10,000 peserta dan dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Orang ramai boleh menghadiri program berkenaan secara percuma bagi mengikuti pengisian ilmu yang menghimpunkan ulama tempatan dan antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.