
ISTANBUL, 18 November -Markas Pemerintahan Am Angkatan Pertahanan Bahrain pada awal Rabu memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas beberapa serangan udara Iran, lapor Anadolu Ajansi.
- Kementerian Dalam Negeri keluarkan dua amaran di X, menggesa rakyat bertenang dan berpindah ke lokasi selamat terdekat.
- Kor Pengawal Revolusi Islam mengumumkan serangan dron mensasarkan sistem radar tentera AS di Pangkalan Udara Sheikh Isa, Bahrain.
- AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari; Tehran membalas dan rundingan kemudian tergendala mengenai keselamatan pelayaran Selat Hormuz.
Kenyataan itu tidak menyatakan jenis atau jumlah projektil yang terlibat dalam serangan berkenaan, selain tidak memberikan perincian mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan.
Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan dua amaran menerusi platform media sosial X, menggesa rakyat dan penduduk negara itu supaya bertenang serta menuju ke “lokasi selamat terdekat”.
Pada Selasa, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan bahawa pihaknya melancarkan serangan dron yang menyasarkan sistem radar tentera AS di Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain.
IRGC memaklumkan bahawa operasi itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan ruang udara Iran yang berulang kali dilakukan oleh dron tentera AS.
AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb lepas. Tehran bertindak balas dengan menyerang Israel dan kemudahan tentera AS di negara-negara Arab.
AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman pada Jun dan memulakan rundingan yang kemudiannya tergendala akibat perselisihan pendapat mengenai cara memastikan pelayaran yang selamat dan bebas melalui Selat Hormuz. – BERNAMA