
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri
KUALA LUMPUR, 2 November – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan jualan 100,304 tiket bagi perkhidmatan ETS dan EMUPlus bersempena Deepavali, dengan permintaan perjalanan meningkat 70 peratus berbanding tempoh perayaan sama tahun lalu.
- Jualan tiket mencapai 108 peratus daripada 96,752 tempat duduk yang ditawarkan bagi perjalanan 5 hingga 10 November.
- KTMB menambah 14,384 tempat duduk menerusi perkhidmatan ETS dan EMUPlus untuk menampung permintaan.
- Jualan tiket ETS dan ERT bagi Januari hingga Februari 2027 dibuka, sebahagian daripada 1.57 juta tempat duduk suku pertama.
- Mod operasi baru membolehkan satu set tren melaksanakan tiga perjalanan bagi meningkatkan kapasiti, kekerapan dan ketersediaan perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, jumlah jualan itu bersamaan 108 peratus daripada 96,752 tempat duduk yang ditawarkan bagi perjalanan dari 5 hingga 10 November ini.
Bagi menampung permintaan, KTMB sebelum ini menambah 14,384 tempat duduk menerusi perkhidmatan ETS dan EMUPlus.
Dalam perkembangan lain, jualan tiket ETS dan ERT bagi perjalanan Januari hingga Februari 2027 dibuka mulai 12 tengah hari ini, sebagai sebahagian daripada tawaran 1.57 juta tempat duduk bagi suku pertama tahun depan.
“Bagi tempoh Januari hingga Mac 2027, KTMB akan menyediakan sebanyak 1.5 juta tempat duduk untuk memenuhi keperluan pengguna.
“Menerusi kaedah operasi yang dirancang, satu set tren boleh digunakan untuk melaksanakan tiga perjalanan berbanding satu perjalanan ketika ini. Langkah itu membolehkan KTMB meningkatkan kapasiti, kekerapan perjalanan dan ketersediaan perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pengagihan 600 pek cenderahati Deepavali kepada penumpang ETS di KL Sentral, pada Isnin.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj.
KTMB menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal, membeli tiket melalui saluran rasmi dan tiba di stesen sekurang kurangnya 30 minit sebelum waktu berlepas.