
PUTRAJAYA, 2 November – Kemudahan kuliah secara hibrid selama empat hari disediakan kepada siswa guru Institut Pendidikan Guru (IPG) sempena sambutan Deepavali tahun ini.
- Kuliah hibrid dilaksanakan 9 hingga 12 November (Kumpulan A) dan 10 hingga 13 November (Kumpulan B).
- Cuti Deepavali: Kumpulan A (Kedah, Kelantan, Terengganu) pada 8 November; Kumpulan B pada 9 November di beberapa negeri.
- Sarawak tidak diberikan cuti Deepavali kerana perayaan bukan cuti umum negeri itu.
- IPG boleh memohon cuti tambahan atau cuti berganti; kampus dengan sedikit pelajar India boleh beri kebenaran bercuti.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kemudahan itu membolehkan siswa guru yang pulang meraikan Deepavali bersama keluarga terus mengikuti kuliah secara dalam talian.
Jelas beliau, kuliah hibrid dilaksanakan pada 9 hingga 12 November bagi Kumpulan A dan 10 hingga 13 November bagi Kumpulan B.
“Anak-anak yang belajar jauh dari rumah tentu mahu pulang menyambut Deepavali bersama keluarga. Saya memahami hasrat ini, termasuk dalam kalangan siswa guru di Institut Pendidikan Guru yang menuntut ilmu jauh dari kampung halaman.
“Kita mahu memastikan pembelajaran terus berjalan dengan baik tanpa mengabaikan kepentingan masa bersama keluarga,” kata Datuk Seri Fadhlina menerusi hantaran di Facebook.
Berdasarkan surat yang dikeluarkan kementeriannya kepada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), cuti Deepavali bagi IPG Kampus di negeri Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu ditetapkan pada 8 November.
Bagi Kumpulan B melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah, cuti ditetapkan pada 9 November.
Sarawak pula tidak diberikan cuti Deepavali kerana perayaan itu bukan cuti umum negeri berkenaan.
IPG Kampus juga boleh mengemukakan permohonan cuti tambahan dan cuti berganti sekiranya terdapat keperluan.
Bagi kampus yang mempunyai bilangan pelajar India tidak ramai, pihak IPG boleh memberi kebenaran bercuti kepada pelajar terlibat.