
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang
KUALA LUMPUR, 2 November – Lebih 1,000 hektar kebun getah terbiar berjaya dipulihkan menerusi kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Plantation dan pekebun kecil melalui pendekatan perkongsian hasil secara menang-menang.
- RISDA Plantation mengambil alih pengurusan kebun terbiar dengan perkongsian hasil bersama pekebun kecil, kemudian menyerahkan semula bersama kaedah pengeluaran dan input.
- Inisiatif Anchor Buyer diperkenalkan untuk atasi isu harga, dengan RISDA bertindak sebagai pembeli utama bagi memastikan pasaran stabil.
- Pemasaran getah bergerak dan penggunaan klon baharu serta sistem penorehan berteknologi meningkatkan pengumpulan hasil dan produktiviti pekebun kecil.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, RISDA Plantation akan mengambil alih pengurusan kebun yang tidak lagi diusahakan sendiri oleh pekebun kecil, dengan pendapatan yang diperoleh dikongsi bersama pemilik kebun.
‘Kita akan berkongsi pulangan atau pendapatan dengan pekebun kecil. Selain itu, kebun yang dipulihkan akan diserahkan semula kepada pekebun kecil dengan menggunakan kaedah pengeluaran getah matang serta bantuan input pertanian seperti baja.
“Dalam usaha meningkatkan pengeluaran, kita juga menangani isu harga yang dihadapi pekebun kecil melalui pengenalan inisiatif Anchor Buyer, dengan RISDA bertindak sebagai pembeli utama,” beliau menjawab soalan tambahan ahli parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.
Selain itu, pemasaran getah secara bergerak turut diperkenalkan bagi memudahkan urusan pengumpulan hasil, sekali gus menggalakkan pekebun kecil meningkatkan aktiviti penorehan.
Usaha meningkatkan produktiviti turut dilaksanakan melalui penggunaan klon getah baharu dan sistem penorehan berteknologi.