
KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Seorang pramugara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memandu bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja penyelenggaraan dan mencederakan seorang lagi individu, Sabtu lalu.
- Pramugara mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu bawah pengaruh alkohol, menyebabkan kematian seorang pekerja dan mencederakan seorang lagi.
- Ujian darah menunjukkan alkohol 64 mg/100ml, melebihi had dibenarkan 50 mg/100ml.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin, menggantung lesen memandu dan mengarahkan melapor di balai setiap 1 hari bulan.
- Kes ditetapkan sebutan semula pada 30 November untuk serahan dokumen; insiden berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar, 24 Oktober awal pagi.
Mohd Iman Nafiz Fong Mohd Sabirin, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta dengan kandungan alkohol dalam darah 64 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml), melebihi had dibenarkan 50mg/100ml, sehingga menyebabkan kematian Faris Irfan Fazli, 29.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen, di sini, pukul 4.09 pagi, 24 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu kenderaan sama bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan kepada Ahmad Zakiyamani Zakaria @ Yusuff, 49, di lokasi dan masa sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, menawarkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain memohon lesen memandu tertuduh digantung dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Peguam bela, Mohd Anif Rafih, merayu supaya jaminan dikurangkan kepada RM30,000, dengan alasan anak guamnya perlu menggunakan pasport untuk bekerja sebagai pramugara dan menanggung ibu bapanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin, menggantung lesen memandunya dan mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis pada setiap 1 hari bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 November ini bagi serahan dokumen.
Dalam kejadian Sabtu lalu, dua pekerja penyelenggaraan dilaporkan maut selepas dirempuh kereta dipandu lelaki berusia 26 tahun yang mempunyai kandungan alkohol melebihi had dibenarkan dalam darah.