
PAYA RUMPUT, 24 Oktober – Kerajaan bersedia menanggung kos subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah sehingga RM45 bilion setahun sekiranya harga minyak mentah antarabangsa kekal tinggi.
- Kerajaan sedia menanggung subsidi bahan api untuk elakkan rakyat terbeban.
- Perdana Menteri Anwar komited kekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter walau harga minyak mentah tinggi.
- Tindakan ini selari dengan prinsip Kerajaan MADANI, mengutamakan rakyat terutamanya ibu bapa.
- Keputusan perlu ditangani dengan kebijaksanaan dan tanggungjawab untuk mengekalkan keyakinan pelabur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memilih untuk menanggung peningkatan kos berkenaan bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan kenaikan harga bahan api.
Beliau turut menegaskan komited kerajaan untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter meskipun harga minyak mentah antarabangsa kini mencecah antara USD120 hingga USD130 setong.
“Lebih baik kerajaan menanggung beban daripada membebankan rakyat, khususnya ibu bapa kita. Itulah prinsip yang menjadi pegangan Kerajaan MADANI.
“Perkara ini bukan mudah dan perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan serta tanggungjawab. Jika kita tidak bertindak secara bertanggungjawab dan hanya membuat keputusan mengikut kehendak sesetengah pihak, keyakinan pelabur untuk datang ke negara kita akan terjejas,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di sini.
Tambah Datuk Seri Anwar, harga minyak mentah dunia telah meningkat hampir dua kali ganda berbanding kira-kira USD70 setong sebelum ini, sekali gus menyebabkan banyak negara berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan memilih untuk terus menanggung sebahagian besar kos subsidi bahan api bagi mengelakkan rakyat berdepan kenaikan harga petrol yang ketara sekiranya harga diapungkan mengikut pasaran.