
IPOH, 23 Oktober -Pendakwah, Ustaz Wadi Annuar antara lima individu yang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) awal pagi tadi.
- Kemalangan tiga kenderaan di Jalan Raya Timur Barat dilaporkan berlaku pada pukul 1.30 pagi.
- Sebuah kereta terbabas ke dalam longkang; seorang penumpang 25 tahun tersepit, pemandu 24 tahun cedera parah.
- Dua mangsa MPV cedera, dua diselamatkan orang awam; mangsa dibawa ke Hospital Gerik. Tiada kecederaan pada kenderaan ketiga.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, ketika kejadian, pendakwah berkenaan dalam perjalanan dari arah Gerik menuju ke Jeli.
“Kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan dan dilaporkan berlaku pada pukul 1.30 pagi. Semua individu dilaporkan berada dalam keadaan baik, namun terdapat seorang yang mengalami sedikit sakit dada dan akan menjalani pemeriksaan doktor,” katanya kepada pemberita, di sini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi pada pukul 3.42 pagi mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan termasuk sebuah MPV.
Kemalangan telah mengakibatkan sebuah kereta terbabas ke dalam longkang dengan seorang mangsa berusia 25 tahun telah tersepit di bahagian penumpang; pemandu berusia 24 tahun cedera parah manakala penumpang
belakang cedera ringan.
Dalam pada itu, dua mangsa dalam MPV dilaporkan cedera manakala dua lagi selamat dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera tiba.
Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.
Tiada kecederaan dilaporkan terhadap tiga mangsa di dalam sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut dengan pemiliknya telah hadir ke balai polis untuk membuat laporan.