Kewangan Islam perlu buktikan impak nyata kepada rakyat

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Kejayaan industri kewangan Islam tidak seharusnya dinilai berdasarkan keuntungan dan pertumbuhan aset semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi impak nyata terhadap kehidupan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Industri mesti beralih daripada hanya pematuhan syariah kepada mewujudkan nilai terukur: memperkasa usahawan, peluang pekerjaan dan akses kemudahan asas.
  • Kerajaan memperuntukkan tambahan geran padanan RM35 juta Belanjawan 2026 untuk memperluas program kewangan sosial iTEKAD.
  • Kewangan Islam digalakkan membiayai keperluan asas dan infrastruktur mampan, termasuk perumahan, kesihatan, pertanian dan pembiayaan air bersih melalui sukuk biru.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, industri itu perlu beralih daripada sekadar memastikan pematuhan syariah kepada usaha mewujudkan nilai yang boleh diukur, termasuk memperkasa usahawan, menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan akses kepada kemudahan asas.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Ke-21 (KLIFF) 2026, di sini.

“Tidak lagi memadai untuk kita hanya bertanya sama ada sesuatu transaksi itu mematuhi syariah. Sebaliknya kita juga perlu bertanya, apakah nilai sebenar yang diwujudkan melalui transaksi itu untuk rakyat, masyarakat dan generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerajaan telah memperuntukkan tambahan geran padanan berjumlah RM35 juta menerusi Belanjawan 2026 bagi memperluas program kewangan sosial iTEKAD.

Program yang menggabungkan pembiayaan sosial, pembiayaan mikro dan pembangunan kapasiti itu bertujuan membantu usahawan mikro berpendapatan rendah membina perniagaan yang lebih berdaya tahan.

“Kewangan Islam juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam membiayai keperluan asas rakyat, termasuk perumahan mampu milik, penjagaan kesihatan, pertanian mampan dan bekalan air bersih,” jelasnya.

Mengenai potensi pembiayaan mampan, Datuk Seri Fadillah berkata, Malaysia turut meneroka instrumen kewangan Islam yang menggabungkan matlamat kelestarian alam sekitar dengan pembangunan infrastruktur negara.

Antaranya menerusi penerbitan sukuk biru oleh Air Selangor bernilai RM200 juta bagi tempoh 15 tahun serta sukuk biru bernilai RM720 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad bagi menyokong pembangunan infrastruktur air negara.

Tegas beliau, pertumbuhan industri kewangan Islam perlu diterjemahkan kepada kemajuan sebenar ekonomi, masyarakat dan negara.

Turut hadir pada majlis itu, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-21 dan Rakan Kongsi Pengurusan Hisham Sobri & Kadir, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.