
TUMPAT, 17 Oktober – Seorang lelaki melarikan diri ke kawasan semak selepas menyedari diekori anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), sebelum meninggalkan keretanya yang membawa 800 kilogram (kg) beras yang disyaki diseludup dari Thailand di Kampung Kajang Sebidang semalam.
- PGA mengesan sebuah kenderaan mencurigakan kira-kira pukul 1 tengah hari.
- Pemeriksaan kereta menemui beberapa guni beras dipercayai diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok menggunakan pangkalan haram.
- Rampasan termasuk sebuah kereta dianggarkan bernilai RM13,200; kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 1 tengah hari.
“Menyedari kenderaannya diekori polis, pemandu terbabit bertindak memecut sebelum berhenti secara mengejut dan meninggalkan kereta itu di tepi sebuah rumah di Kampung Kajang Sebidang.
“Usaha anggota mengesan pemandu berkenaan di kawasan semak berhampiran bagaimanapun gagal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pemeriksaan di tempat duduk penumpang belakang dan ruang kereta itu menemukan beberapa guni putih berisi beras seberat keseluruhan 800 kg.
Siasatan mendapati beras berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok menggunakan pangkalan haram.
Nilai rampasan termasuk sebuah kereta dianggarkan berjumlah RM13,200.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.