
PUTRAJAYA, 15 Oktober – Persiapan bagi penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2028 akan dimulakan seawal Januari tahun depan.
- Teliti dan laksana cadangan penambahbaikan daripada post-mortem untuk memastikan penganjuran MAHA lebih berkesan.
- Pastikan setiap perbelanjaan kerajaan setimpal dengan hasil yang diperolehi melalui penilaian kos dan impak.
- Tingkatkan tahap kesiapsiagaan tapak penganjuran untuk memastikan operasi berada pada tahap optimum bagi penganjuran akan datang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata persiapan berkenaan termasuk meneliti cadangan penambahbaikan bagi memastikan penganjuran yang lebih berkesan.
“Saya ingin menyeru supaya kita berusaha untuk meneruskan kecemerlangan, persiapan dan perancangan awal bagi MAHA seterusnya, ia boleh digerakkan daripada sekarang.
“Segala cadangan penambahbaikan yang dikemukakan semasa post-mortem juga wajar diteliti dan disesuaikan pelaksanaannya supaya setiap perbelanjaan kerajaan setimpal dengan hasil yang diperolehi”, katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi MAHA 2026 di Putrajaya.
Datuk Seri Mohamad juga berpandangan tahap kesiapsiagaan tapak penganjuran MAHA perlu dipertingkat bagi memastikan operasinya berada pada tahap optimum untuk penganjuran akan datang.
MAHA 2026 yang berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September lalu telah merekodkan kehadiran lebih lima juta pengunjung dengan nilai jualan melebihi RM73 juta serta pemeteraian 97 memorandum persefahaman (MoU) bernilai lebih RM10.35 bilion.