KKM bekal lebih 1,800 alat bantuan pernafasan hadapi risiko jerebu

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 15 Oktober -Sebanyak 841 unit alat bantuan pernafasan AeroChamber dewasa, 396 unit AeroChamber kanak-kanak dan 576 unit nebulizer sebagai tambahan dibekalkan ke seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKM mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan dan mempertingkatkan pemantauan melalui CPRC susulan peningkatan IPU dan kemerosotan kualiti udara.
  • Pemantauan tertumpu pada URTI, asma dan konjunktivitis melalui 78 fasiliti kesihatan sentinel untuk kesan awal dan respons kesihatan.
  • KKM nasihatkan gantung aktiviti luar jika IPU>100 dan tutup sekolah jika IPU>200, serta perkukuh amaran awal bersama MetMalaysia, NADMA dan Jabatan Alam Sekitar.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu merupakan persediaan bagi menghadapi risiko penyakit berkaitan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

Kementerian Kesihatan turut mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan mulai 4 September, selain memantau secara rapi tiga penyakit utama berkaitan jerebu.

Ia merangkumi jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), asma dan konjunktivitis, menerusi 78 fasiliti kesihatan sentinel.

“Pemantauan dipertingkatkan menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan kemerosotan kualiti udara.

“Susulan keadaan jerebu yang semakin buruk, Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan diaktifkan pada 4 September bagi memperkukuh pemantauan situasi serta menyelaras tindakan dan respons kesihatan awam,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, di Dewan Rakyat.

KKM turut menyalurkan nasihat teknikal kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi berhubung penangguhan aktiviti luar sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara melebihi 100 serta cadangan penutupan sekolah jika bacaan melebihi 200.

Kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut diperkukuh bagi memastikan amaran awal serta langkah pencegahan disalurkan secara berkesan kepada masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.