Keuntungan PERNAMA perlu kembali kepada anggota tentera

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga, kanan) meninjau Kedai Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) sempena lawatan kerjanya di Kem Terendak, hari ini / Foto BERNAMA

MELAKA TENGAH, 15 Oktober – Keuntungan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) perlu dihadkan supaya manfaatnya dapat dikembalikan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

RINGKASAN BERITA AI
  • PERNAMA berperanan tingkatkan kebajikan anggota dengan menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
  • Program HITS dan JIMAT menyediakan harga subsidi sehingga 30% selama 10 hari setiap hujung bulan.
  • Diskaun berperingkat mengikut jumlah pembelian dan pembayaran melalui SARA menggunakan sistem MyKasih memudahkan anggota.
  • Tawaran harga murah kini sepanjang masa, bukan hanya hari gaji, mengurangkan perebutan dan sekatan kuantiti.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PERNAMA bukan sekadar kedai runcit, sebaliknya berperanan meningkatkan kebajikan anggota tentera menerusi penawaran barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS), termasuk Program JIMAT (Jualan Istimewa MADANI Angkatan Tentera).

Program itu menawarkan barangan pada harga bersubsidi sehingga 30 peratus selama 10 hari pada setiap hujung bulan, selain diskaun berperingkat mengikut jumlah pembelian serta kemudahan pembayaran menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui sistem MyKasih.

“Kalau dahulu tawaran harga murah hanya pada hari gaji, sekarang pada setiap masa. Dahulu anggota perlu berebut untuk mendapatkan barangan murah yang ditawarkan dalam jumlah terhad, tetapi sekarang tiada lagi had sedemikian.

“Kita berharap inisiatif ini benar-benar memberi manfaat kepada anggota dan mengurangkan perbelanjaan mereka bagi mendapatkan barangan keperluan harian keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Harga Istimewa Tentera Sejahtera sempena lawatan beliau ke Kem Terendak, Melaka.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, PERNAMA dilaporkan mencatat keuntungan kira-kira RM30 juta menerusi operasi outletnya di 80 kem ATM di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.