
MELAKA, 15 Oktober -Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Kem Terendak terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), sekali gus menerima peruntukan sebanyak RM35,000 bagi menambah baik kemudahan pendidikan di sekolah berkenaan.
- Program Sekolah Angkat MADANI LTAT memperuntukkan RM1.05 juta bagi 42 sekolah ATM di seluruh negara.
- Kebanyakan SRA JAIM di Melaka beroperasi secara hibrid; gaji ditanggung bersama JAKIM dan kerajaan negeri.
- Lawatan rasmi melibatkan penyerahan replika cek dan tinjauan prasarana sekolah yang menampung kira-kira 640 pelajar.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka Datuk Rais Yasin berkata, pemilihan sekolah itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI LTAT yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.05 juta bagi 42 sekolah di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.
“Pihak LTAT turut menyumbang menerusi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI bagi sekolah rendah agama ini. Kita sedia maklum, kebanyakan Sekolah Rendah Agama JAIM di Melaka beroperasi secara hibrid, dengan pembayaran gaji ditanggung bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kerajaan negeri bagi menyelaraskan kadar gaji.
“Justeru, saya merakamkan penghargaan kepada kementerian dan Menteri Pertahanan atas keprihatinan terhadap keperluan sekolah-sekolah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat SRA JAIM Kem Terendak bagi meninjau keperluan prasarana pendidikan di sekolah terbabit.
Pada lawatan itu, Datuk Seri Mohamed Khaled turut menyempurnakan penyerahan replika cek bernilai RM35,000 bagi pelaksanaan inisiatif penambahbaikan kemudahan sekolah berkenaan yang mempunyai kira-kira 640 pelajar.