Hilang lebih seminggu di hutan, lelaki ditemukan selamat

Keadaan Christie Fidelis Batest, 53, sebaik ditemukan pagi tadi/ Bomba

PADAWAN, 15 Oktober- Lelaki yang hilang lebih seminggu ketika keluar berburu di hutan Kampung Emperuh Jambu, di sini, ditemukan selamat pagi ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketika ditemukan, mangsa lemah, berkaki ayam dan mengalami luka kecil pada pergelangan kaki, pergelangan tangan dan lengan.
  • Mangsa dipercayai menuju motosikalnya yang diparkir kira-kira satu kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.
  • Lebih 30 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi, termasuk unit K9 dan dron, digerakkan; SAR ditamatkan pada pukul 9.00 pagi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Pemangku Superintenden Barry William ketika dihubungi RTM berkata mangsa, Christie Fidelis Batest, 53, dilapor keluar sendiri dari kawasan kelapa sawit pada pukul 8.47 pagi tadi.

Ketika ditemukan, mangsa berada dalam keadaan lemah dan berkaki ayam, selain mengalami beberapa luka kecil pada kedua-dua pergelangan kaki, pergelangan tangan dan lengan.

Mangsa dipercayai sedang menuju ke motosikalnya yang diparkir kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Beliau berkata mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala polis sedang berusaha mendapatkan semula senapang patah milik mangsa yang ditinggalkan di suatu lokasi.

Lebih 30 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi digerakkan bagi mengesan mangsa sejak 7 Oktober lalu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) serta dron.

Susulan penemuan mangsa, SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.00 pagi ini.

Dalam kejadian pada Selasa minggu lalu, Christie dilaporkan keluar rumah pada waktu malam dengan membawa selaras senapang patah untuk berburu di hutan belakang rumah sepupunya.

Selepas hampir 24 jam mangsa tidak pulang, keluarganya menjalankan usaha mencari dan menemukan motosikal mangsa diparkir di tepi jalan sebelum laporan polis dibuat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.