
BATU PAHAT, 15 Oktober – Seorang remaja lelaki Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, atas pertuduhan membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, di Yong Peng pada 3 Oktober lalu.
- Mangsa Irene Sofiya ditemui tidak sedarkan diri, berlumuran darah di dewan sekolah kira-kira 5.50 petang; disahkan meninggal di lokasi.
- Pertuduhan menyatakan pembunuhan berlaku antara pukul 2.30 petang hingga 4 petang di dewan sekolah.
- Seorang remaja lelaki 16 tahun, dipercayai rakan sekelas mangsa, ditahan sekitar 7 malam pada hari kejadian dan direman enam hari.
- Kes disebut semula 22 Disember untuk penyerahan laporan forensik dan bedah siasat; telefon, pakaian serta selipar dirampas untuk siasatan.
Prosiding dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno, manakala tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh Irene Sofiya antara pukul 2.30 petang hingga 4 petang di dewan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Yong Peng.
Kes disebut semula pada 22 Disember ini bagi penyerahan laporan forensik dan bedah siasat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan Firdaus Ruslan, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tertuduh diwakili peguam, Suhaila Shafiuddin dan Mohd Azlan Shah Mohd Allias.
Dalam kejadian pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di dewan sekolah berkenaan kira-kira pukul 5.50 petang.
Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai rakan sekelas mangsa di sekitar Yong Peng kira-kira pukul 7 malam pada hari sama.
Suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas telefon bimbit, pakaian dan selipar untuk siasatan lanjut.