Belanjawan 2027 ringankan beban OKU, penjaga

Foto Fail BERNAMA

KUANTAN, 15 Oktober – Kenaikan kadar bantuan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar daripada RM500 kepada RM600 antara inisiatif Belanjawan 2027 yang mampu meringankan beban golongan berkenaan serta penjaga mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan bantuan memberi kelegaan kepada keluarga yang menjaga OKU terlantar, terutama selepas program lawatan rumah PDK dimansuhkan.
  • Penyediaan pas perjalanan pengangkutan awam percuma untuk komuniti OKU, dengan harapan ia diperluaskan kepada OKU dewasa.
  • Peningkatan ambang kelayakan EPOKU melindungi penerima elaun RM450 dan membolehkan pekerja OKU terus bekerja serta berdikari.

Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang Kuantan, Syahira Yahya menyifatkan kenaikan itu memberi kelegaan kepada keluarga yang menjaga OKU terlantar di rumah, terutama selepas program lawatan ke rumah oleh PDK dimansuhkan.

“Anak-anak ini masih berpeluang mendapat perlindungan kerajaan dan kenaikan RM100 itu sangat penting untuk mereka yang berada di rumah,” katanya kepada RTM.

Beliau turut menyambut baik penyediaan pas perjalanan pengangkutan awam percuma kepada komuniti OKU menerusi Belanjawan 2027, selain berharap kemudahan itu dapat diperluaskan kepada OKU dewasa.

Sementara itu, Penyelia Projek Lipat Kain terapi OKU di PDK, Nurul Ain Mohd Naim pula berpendapat kenaikan ambang pendapatan kelayakan bagi Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan merupakan bukti kerajaan melindungi golongan berkenaan.

Jelasnya, inisiatif tersebut dapat mengelakkan pekerja OKU daripada kehilangan kelayakan menerima elaun RM450 apabila berlaku kenaikan gaji minimum atau pendapatan bulanan mereka.

“Saya setuju kerana mereka boleh bekerja dan berdikari. Jika majikan memberikan peluang yang baik, mereka layak menerima gaji yang setimpal.

“Setiap tahun kita akan memperbaharui permohonan supaya mereka terus menerima RM450,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan keseluruhan RM1.5 bilion bagi bantuan OKU yang dijangka memanfaatkan lebih 300,000 penerima.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.