Malaysia pertimbang perluas CCTV pengecaman wajah bagi cegah jenayah

Foto FB Zahid Hamidi

BEIJING, 14 Oktober – Malaysia boleh mempertimbangkan peluasan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi dengan teknologi pengecaman wajah bagi meningkatkan keberkesanan pencegahan jenayah, berdasarkan pengalaman China melaksanakan pendekatan ‘modern policing’.

RINGKASAN BERITA AI
  • China memasang kamera kira-kira setiap 50 meter di kawasan panas jenayah untuk meningkatkan keberkesanan pengawasan.
  • Sistem pengecaman membolehkan suspek dikesan dan ditangkap dalam kira-kira tiga minit 30 saat.
  • Projek perintis dijalankan di Iskandar Puteri dan teknologi digunakan di Bukit Bintang untuk menangani ragut beg.
  • Kekangan kewangan menghalang pengembangan; sistem dicadangkan dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi apabila pendapatan negara bertambah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, China menggunakan teknologi berkenaan khususnya di kawasan panas jenayah, dengan kamera dipasang pada jarak kira-kira 50 meter antara satu sama lain.

Menurutnya, sistem itu membolehkan suspek dikesan dan ditangkap dalam tempoh kira-kira tiga minit 30 saat.

Malaysia juga pernah melaksanakan pendekatan serupa menerusi projek perintis di Iskandar Puteri, Johor, ketika beliau menerajui Kementerian Dalam Negeri.

Teknologi berkenaan turut digunakan di kawasan tumpuan seperti Bukit Bintang, Kuala Lumpur, bagi membantu menangani jenayah termasuk ragut beg.

Bagaimanapun, beliau berkata kekangan kewangan menjadi antara cabaran untuk memperluas pelaksanaan sistem itu ke seluruh negara.

“Jadi, mungkin suatu ketika nanti, jika kita mempunyai pendapatan yang lebih banyak, pendekatan ‘modern policing’ ini boleh dilaksanakan.

“Mungkin bukan di semua ibu pejabat polis daerah, tetapi di kawasan yang mempunyai kadar jenayah tinggi. Sistem ini sangat berkesan dan kadar jenayah dapat diturunkan kepada kurang daripada dua angka, malah di bawah satu peratusan mata,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Ahli Majlis Negara China merangkap Menteri Keselamatan Awam, Wang Xiaohong di Beijing, bagi membincangkan kerjasama keselamatan dan usaha membanteras jenayah rentas negara.

Sehubungan itu, katanya, pengalaman China memanfaatkan teknologi pengawasan berkenaan akan dibawa untuk dikongsikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.