Cubaan seludup 2,450 karton rokok ke Indonesia gagal

Foto Divisyen Pertama Infantri Malaysia

KUCHING, 14 Oktober- Cubaan menyeludup 2,450 karton rokok ke Indonesia bernilai RM83,300 berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Op Keris Parang di Serikin, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • TDM mengesan dan menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda menuju laluan haram; pemandu merupakan seorang lelaki warga tempatan.
  • Pemeriksaan mendedahkan muatan barangan terkawal dan runcit tanpa dokumen perjalanan atau pengesahan muatan yang sah; rampasan dan suspek dibawa ke IPD Bau.
  • TDM akan mempertingkat rondaan dan memperkukuh kawalan sempadan serta menyeru agensi dan orang awam menyalurkan maklumat aktiviti lintas sempadan.

Menurut kenyataan Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div), sebuah kenderaan pacuan empat roda dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan sambil menuju ke laluan haram di sempadan Malaysia-Indonesia kira-kira pukul 5.00 pagi tadi.

Pihak itu memaklumkan kenderaan berkenaan dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan.

“Kenderaan mencurigakan itu ditutupi kanvas biru pada bahagian muatan belakang dan berjaya ditahan di laluan haram berkenaan, kira-kira 400 meter dari sempadan negara,” menurut 1 Div dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa pelbagai barangan terkawal serta barangan runcit tanpa dokumen perjalanan atau dokumen pengesahan muatan yang sah.

“Rampasan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai RM110,000, 2,450 karton rokok bernilai RM83,300, dua unit telefon bimbit bernilai RM800 dan RM700, serta sebuah beg silang bernilai RM50.

“Nilai keseluruhan rampasan RM194,850,” menurut kenyataan itu.

Suspek dan kesemua rampasan berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu lagi, TDM akan terus mempertingkat rondaan dan memperkukuh kawalan keselamatan bagi memastikan sempadan negara kekal selamat daripada aktiviti jenayah rentas sempadan.

“TDM turut menyeru kepada mana-mana agensi atau individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti lintas batas secara haram untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada pasukan yang beroperasi, agar aktiviti jenayah rentas sempadan dapat dibendung dengan lebih efektif,” menurut kenyataan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.