KBS perkasa sukan akar umbi

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkasa pembangunan sukan akar umbi menerusi sokongan dana komuniti serta pelaksanaan program sukan permotoran, sukan lasak dan e-sukan bagi memperluas penyertaan belia, termasuk di kawasan luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dana Sukan Komuniti (DSK) menyokong kelab dan persatuan tempatan serta penganjuran acara seperti Pertandingan Paintball Peringkat Daerah Larut Matang 2026.
  • Jabatan Belia dan Sukan Negara laksanakan program sukan permotoran dan lasak termasuk kursus tali tinggi, kayak, arus deras dan Motocross Track Day.
  • Esports Integrated jalankan Malaysia Esports League sebagai platform akar umbi; MEL merekodkan lebih 74,000 penyertaan sepanjang enam tahun.
  • KBS buka ruang kerjasama dengan kerajaan negeri, PBT, persatuan dan swasta bagi lokasi selamat, peralatan, jurulatih serta klinik dan pertandingan pembangunan bakat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, sokongan itu turut disalurkan menerusi Dana Sukan Komuniti (DSK) yang membabitkan kelab, persatuan dan pertubuhan sukan tempatan, termasuk Pertandingan Paintball Peringkat Daerah Larut Matang Siri 1 Tahun 2026 di Perak.

Beliau berkata, pada tahun ini, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) merancang serta melaksanakan beberapa program sukan permotoran dan sukan lasak di peringkat negeri.

“Antaranya ialah Motocross Track Day MADANI, Kursus Tali Tinggi ASEAN Southeast Asia Timing Federation Tahap 1, Kursus Asas Rekreasi Luar, Kursus Asas Kayak Setawan dan Kursus Asas Arus Deras,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran asas dan amalan keselamatan, selain membuka ruang pembangunan bakat dalam kalangan belia.

Dalam aspek e-sukan, KBS menerusi Esports Integrated (ESI) menyediakan platform pertandingan akar umbi melalui Malaysia Esports League (MEL), yang merekodkan lebih 74,000 penyertaan terkumpul sepanjang enam tahun pelaksanaannya.

Selain itu, Dana E-sukan KBS (DEK) 2026 menyokong 65 projek dengan peruntukan RM1 juta, merangkumi penganjuran kejohanan, pembangunan bakat, kandungan pendidikan dan advokasi.

Mordi berkata, KBS akan meneruskan usaha memperkukuh pembangunan e-sukan dan memperluas akses komuniti luar bandar dengan mengambil kira kemudahan sedia ada serta keperluan setempat.

“KBS turut terbuka untuk meneliti cadangan kerjasama dengan kerajaan negeri Perak, pihak berkuasa tempatan (PBT), persatuan sukan dan sektor swasta bagi menyediakan lokasi yang selamat dan terkawal serta kemudahan latihan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu boleh merangkumi pengenalpastian lokasi bersesuaian, penggunaan kemudahan sedia ada, penyediaan peralatan dan kepakaran jurulatih, selain penganjuran klinik asas serta pertandingan bagi pembangunan bakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.