
KUALA LUMPUR, 12 Oktober –Penilaian impak kenaikan gaji minimum perlu dilaksanakan selepas enam atau 12 bulan pelaksanaannya bagi mengukur keberkesanan dasar itu terhadap pendapatan sebenar dan kuasa beli rakyat.
- Mesti ada mekanisme penilaian impak yang jelas bagi kenaikan gaji minimum.
- Penilaian mesti mengambil kira gaji sebenar selepas inflasi, kadar guna tenaga, waktu bekerja, produktiviti dan keadaan perusahaan.
- Perlu mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan untuk mengesan pengurangan waktu bekerja atau perubahan struktur bayaran.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.
“Justeru, saya mencadangkan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Ekonomi melaksanakan penilaian impak kenaikan gaji minimum ini selepas enam atau 12 bulan pelaksanaannya. Penilaian ini perlu mengambil kira perubahan gaji benar selepas inflasi, kadar guna tenaga, waktu bekerja, produktiviti serta keadaan perusahaan yang terlibat,” katanya dalam sesi bahas di Dewan Rakyat.
Menurut Datuk Seri Dr. Zaliha , kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, iaitu peningkatan RM300 atau kira-kira 17.6 peratus, perlu disusuli mekanisme penilaian yang jelas.
Beliau berkata, kenaikan itu turut memberi implikasi kepada struktur kos perniagaan, khususnya perusahaan yang banyak bergantung kepada tenaga kerja.
“Kita perlu mengambil kira kemungkinan sebahagian majikan menyerap peningkatan kos tersebut melalui keuntungan dan peningkatan produktiviti, manakala sebahagian yang lain mungkin membuat pelarasan terhadap harga, waktu bekerja dan pengambilan pekerja. Kita juga perlu mengambil kira risiko peningkatan kos penggajian itu dipindahkan kepada pengguna melalui pelarasan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya lagi.
Datuk Seri Dr. Zaliha turut meminta penjelasan Kementerian Sumber Manusia mengenai mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan gaji minimum.
Ini termasuk usaha mengesan kemungkinan pengurangan waktu bekerja atau perubahan struktur pembayaran yang boleh menjejaskan manfaat kenaikan gaji kepada pekerja.