
PUTRAJAYA, 12 Oktober – Pelanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun dan pengurangan duti setem bagi pembiayaan pembelian serta pembinaan kapal dijangka merangsang pelaburan baharu dalam industri perkapalan negara.
- Ketiadaan kepastian akibat perlu memperbaharui pengecualian cukai setiap dua tahun mengganggu perancangan pelaburan.
- Sesetengah syarikat mendaftarkan kapal di luar negara kerana insentif cukai lebih menarik di negara jiran.
- Duti setem ditetapkan RM2,000 untuk pembiayaan sehingga RM100 juta dan RM5,000 bagi pembiayaan melebihi RM100 juta.
- Insentif dijangka merangsang pelaburan, pembinaan kapal baharu dan merancakkan industri pembinaan kapal tempatan termasuk di Sibu, Sarawak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengecualian cukai bagi tempoh 2027 hingga 2036 memberikan kepastian kepada syarikat perkapalan untuk merancang pelaburan jangka panjang, termasuk pembelian dan pembinaan kapal baharu.
“Sebelum ini syarikat perlu memperbaharui permohonan pengecualian cukai pendapatan setiap dua tahun, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan dalam perancangan pelaburan.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian syarikat memilih untuk mendaftarkan kapal di negara lain yang menawarkan insentif cukai lebih menarik, termasuk negara jiran.
“Bagi menarik semula syarikat perkapalan mendaftarkan kapal serta melabur dalam aset di Malaysia, pengecualian cukai selama 10 tahun ini akan memberikan kepastian kepada mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini,
Dalam perkembangan sama, kerajaan menetapkan duti setem sebanyak RM2,000 bagi pembiayaan pembelian atau pembinaan kapal bernilai sehingga RM100 juta, manakala pembiayaan melebihi RM100 juta dikenakan duti setem RM5,000.
Kadar baharu itu jauh lebih rendah berbanding kadar terdahulu sebanyak 0.5 peratus daripada nilai pembiayaan.
Sebagai contoh, pembiayaan kapal bernilai RM100 juta sebelum ini dikenakan duti setem RM500,000, namun kini dikurangkan kepada RM2,000, sekali gus menjimatkan RM498,000.
Anthony berkata, pengenalan insentif berkenaan dijangka menggalakkan lebih banyak pelaburan dan pembinaan kapal baharu, selain merancakkan industri pembinaan kapal tempatan, termasuk di Sibu, Sarawak.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media susulan pembentangan Belanjawan 2027 di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelanjutan pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat perkapalan Malaysia sehingga tahun taksiran 2036 ketika membentangkan Belanjawan 2027.