Golongan muda bukan manja cuma berdepan realiti sosioekonomi berbeza

Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Masyarakat dan pemimpin diseru agar lebih memahami cabaran yang dihadapi golongan muda, tanpa terus melabel mereka sebagai generasi manja atau terlalu mengharapkan layanan istimewa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian terhadap golongan muda perlu mengambil kira realiti sosioekonomi berbeza generasi.
  • Perubahan teknologi dan keadaan ekonomi membentuk pengalaman serta pandangan hidup golongan muda.
  • Golongan muda mengharapkan kejelasan dan rasa hormat dalam hubungan pekerjaan, termasuk dari majikan.
  • Gunakan platform digital untuk menyuarakan isu negara dan kesejahteraan awam, contohnya pencemaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa, golongan muda perlu dinilai berdasarkan realiti sosioekonomi semasa yang berbeza daripada pengalaman generasi terdahulu.

Perubahan teknologi dan keadaan ekonomi padaa masa kini turut menyumbang kepada pembentukan pengalaman serta pandangan golongan muda terhadap kehidupan.

“Generasi hari ini bukanlah berasa diri mereka berhak mendapat layanan istimewa atau manja, tetapi mereka dilahirkan dalam perspektif yang berbeza. Pengalaman hidup mereka tidak sama seperti yang kita lalui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum Menteri sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFuture) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.

Menurut Datuk Seri Azalina, golongan muda kini lebih memahami nilai diri dan mengharapkan kejelasan serta rasa hormat dalam hubungan pekerjaan, termasuk daripada pihak majikan.

Perbezaan berkenaan perlu difahami dalam melihat jangkaan generasi muda terhadap kerjaya, yang tidak semestinya boleh dinilai berdasarkan pengalaman generasi terdahulu.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Azalina menggesa mahasiswa dan pemimpin muda supaya menggunakan pengaruh serta platform yang dimiliki untuk menyuarakan isu yang memberi kesan kepada negara dan kesejahteraan awam.

“Saya tidak meminta anda untuk turun ke jalanan, tetapi gunakan platform digital yang anda miliki untuk membangkitkan perkara yang membimbangkan ini. Jika anda berdiam diri, orang lain akan menganggap kita akur dengan keadaan itu,” katanya lagi.

Pendekatan itu penting bagi memastikan isu kritikal seperti pencemaran alam sekitar mendapat perhatian wajar, sebagai contoh keadaan jerebu rentas sempadan yang memberi kesan langsung kepada kesihatan awam.

Forum bertajuk ‘Suara Masa Hadapan: Perbincangan Mengenai Kepimpinan dan Pembinaan Negara Bangsa’ itu turut menampilkan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai panel bersama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.