
- Bayaran zakat dipotong terus daripada dividen tahunan Simpanan Shariah selepas pengisytiharan.
- KWSP bertindak sebagai wakil menyalurkan zakat kepada pihak berkuasa zakat negeri berdasarkan negeri tempat ahli bekerja.
- Pengiraan zakat dibuat secara kolektif setiap tahun kewangan berakhir 31 Disember menggunakan kaedah modal kerja terlaras pada kadar 2.577%.
- Ahli Islam boleh memilih kemudahan menerusi i-Akaun, Terminal Layan Diri atau pejabat KWSP; yang tidak memilih boleh bayar zakat secara individu.
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah bagi memudahkan ahli beragama Islam untuk menunaikan kewajipan zakat ke atas Simpanan Shariah.
KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, kemudahan itu membolehkan bayaran zakat dipotong secara terus daripada dividen tahunan Simpanan Shariah selepas dividen diisytiharkan.
“KWSP akan bertindak sebagai wakil untuk menyalurkan bayaran zakat bagi pihak ahli kepada pihak berkuasa zakat negeri berdasarkan negeri tempat ahli bekerja.
“Ahli Simpanan Shariah beragama Islam yang tidak memilih kemudahan ini boleh terus menunaikan kewajipan zakat secara individu, manakala ahli bukan beragama Islam tidak tertakluk kepada kewajipan zakat,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kemudahan itu merupakan penambahbaikan kepada Simpanan Shariah yang membolehkan KWSP menguruskan proses pengiraan dan pembayaran zakat bagi pihak ahli yang memilih kemudahan berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif itu turut mencerminkan komitmen KWSP untuk memperkukuh penawaran Simpanan Shariah agar selaras dengan tadbir urus Syariah serta memenuhi keperluan ahli.
“Simpanan yang telah layak untuk pengeluaran, termasuk simpanan dalam Akaun Fleksibel, tidak memerlukan bayaran zakat berasingan oleh ahli di bawah Zakat Perniagaan Simpanan Shariah.
“Pendekatan ini lebih jelas dan memudahkan ahli yang memilih kemudahan ini kerana tidak perlu lagi menentukan sendiri kaedah dan jumlah zakat bagi simpanan KWSP
mereka secara berasingan,” jelasnya.
Pengiraan zakat akan dibuat secara kolektif setiap tahun kewangan berakhir 31 Disember menggunakan kaedah modal kerja terlaras, dengan kadar zakat ditetapkan pada 2.577 peratus.
Jumlah zakat yang perlu dibayar oleh setiap ahli akan ditentukan secara pro-rata berdasarkan Kadar Zakat Ahli, sebelum dipotong daripada dividen tahunan Simpanan Shariah masing-masing.
Pelaksanaan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-125 yang menetapkan kewajipan zakat tahunan ke atas Simpanan Shariah.
Ahli beragama Islam yang ingin menggunakan kemudahan itu boleh membuat pilihan menerusi KWSP i-Akaun (Ahli), Terminal Layan Diri (SST) atau di pejabat KWSP seluruh negara.
Bagaimanapun, ahli yang tidak memilih kemudahan itu boleh terus menunaikan zakat secara individu, manakala ahli bukan beragama Islam tidak tertakluk kepada kewajipan berkenaan.