
SARATOK, 11 Oktober – Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah pikap dan sebuah kereta sedan di Kilometer (km) 418.4 Lebuh Raya Pan Borneo arah Betong, berhampiran Pusingan P Simpang Saratok, pagi tadi.
- Mangsa, penumpang hadapan, dikenali sebagai Bohari Derahman meninggal dunia di Hospital Saratok akibat kecederaan parah di kepala.
- Kemalangan berlaku apabila pikap yang bergerak lurus melanggar sedan yang keluar secara tiba-tiba dari Pusingan P.
- Pemandu pikap (60) dan pemandu sedan (77) cedera; ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Saratok. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1).
Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie dalam kenyataan memaklumkan, mangsa merupakan penumpang di tempat duduk hadapan kereta berkenaan.
“Mangsa dikenali sebagai Bohari Derahman meninggal dunia di Hospital Saratok selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 10.57 pagi ketika sebuah pikap yang bergerak lurus menghala ke Betong tidak sempat mengelak sebelum melanggar kereta sedan yang keluar secara tiba-tiba dari Pusingan P Saratok,” menurut kenyataan itu.
Kemalangan itu turut menyebabkan pemandu pikap lelaki berusia 60 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki, manakala lelaki warga emas pemandu sedan berusia 77 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Saratok. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.