
KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Peningkatan pendapatan dan bantuan bersasar perlu bergerak seiring bagi memastikan Belanjawan 2027 bukan sahaja membantu rakyat menangani kos sara hidup, malah meningkatkan kuasa beli dalam jangka panjang.
- Kenaikan gaji minimum langkah jangka panjang; bantuan STR dan SARA beri kelegaan segera kos sara hidup.
- Subsidi membantu menghadapi tekanan kos dan kesan geopolitik, tetapi perlu perkasakan pendapatan untuk kurangkan kebergantungan bantuan.
- Peningkatan pelepasan cukai kepada RM12,000 manfaatkan pelbagai golongan termasuk generasi sandwic; keseimbangan bantuan dan pendapatan penting.
Profesor Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan berkata kenaikan gaji minimum merupakan langkah jangka panjang, manakala bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dapat membantu mengurangkan tekanan kewangan rakyat dalam tempoh terdekat.
“Pengumuman kenaikan gaji minimum merupakan langkah jangka panjang, manakala bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) lebih tertumpu kepada usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dalam jangka pendek,” katanya kepada RTM di Angkasapuri, Kota Media di sini hari ini.
Beliau berkata bantuan subsidi turut membantu rakyat menghadapi tekanan kos semasa, termasuk kesan perkembangan geopolitik antarabangsa terhadap perbelanjaan.
Bagaimanapun, usaha menangani kos sara hidup perlu disokong langkah memperkukuh pendapatan supaya rakyat dapat meningkatkan kestabilan kewangan dan mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan.
Mengulas aspek keterangkuman Belanjawan 2027, Dr. Nurul Shahnaz berkata, pelepasan cukai yang ditingkatkan kepada RM12,000 turut memberi manfaat kepada golongan berpendapatan berbeza termasuk generasi sandwic yang menanggung keperluan ibu bapa dan anak-anak.
“Peningkatan pelepasan cukai kepada RM12,000 memberi manfaat kepada rakyat, termasuk generasi sandwic. Justeru, saya berpandangan setiap golongan rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan, mendapat manfaat tertentu daripada Belanjawan 2027 ini,” katanya.
Beliau berkata keseimbangan antara bantuan segera dengan peningkatan pendapatan penting bagi memastikan manfaat Belanjawan 2027 dapat membantu rakyat menghadapi keperluan semasa serta membina kedudukan kewangan yang lebih kukuh dalam jangka panjang.