
SHAH ALAM, 10 Oktober – Perancangan infrastruktur air jangka panjang dan peruntukan RM100 juta bagi pembinaan kolam takungan serta penyelenggaraan sungai antara langkah yang dirancang Selangor menerusi Belanjawan 2027 bagi mengurangkan risiko banjir dan menjamin bekalan air mencukupi.
- Penilaian semula kapasiti Empangan Batu dan Klang Gate bagi keperluan negeri masa depan.
- Keberkesanan diukur melalui pengurangan kekerapan, kedalaman dan tempoh banjir, bukan hanya jumlah peruntukan atau bilangan projek.
- Kawalan pembangunan tegas, pengurusan kawasan tadahan air dan penyelenggaraan infrastruktur jangka panjang diperlukan.
- Penyelenggaraan berkala sistem saliran penting supaya aliran air selaras kapasiti reka bentuk bagi mengelak banjir kilat.
Perancangan itu turut merangkumi penilaian semula kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gate bagi memenuhi keperluan negeri untuk tempoh 30 tahun akan datang.
Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Balqis Mohamed Rehan berkata, keberkesanan langkah berkenaan perlu dinilai berdasarkan pengurangan kekerapan, kedalaman dan tempoh banjir di kawasan berisiko, bukan sekadar jumlah peruntukan atau bilangan projek.
“Keberkesanan pelaksanaan projek ini tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan projek semata-mata, sebaliknya perlu diukur melalui pengurangan kekerapan, kedalaman dan tempoh banjir di kawasan berisiko.
“Pada pandangan saya, langkah ini mampu mengurangkan risiko banjir, namun bukan penyelesaian menyeluruh kepada masalah banjir kilat. Usaha itu memerlukan kawalan pembangunan yang lebih tegas, pengurusan kawasan tadahan air yang berkesan serta penyelenggaraan infrastruktur untuk jangka panjang.
“Kita mendapati terdapat kawasan tadahan air yang sebelum ini telah diwartakan sebagai kolam takungan, tetapi kemudiannya diserahkan untuk tujuan pembangunan. Aspek ini amat penting dan perlu diberi perhatian dalam pengurusan banjir kilat,” katanya.
Sementara itu, Panel Pakar Pusat Tadbir Urus dan Kemampanan Antarabangsa (IGSC), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, penyelenggaraan berkala sistem saliran penting bagi memastikan aliran air berjalan lancar mengikut kapasiti reka bentuk asal.
“Sebarang sistem pengurusan banjir, termasuk sistem perparitan, perlu menitikberatkan aspek penyelenggaraan bagi memastikan ia berfungsi mengikut kapasiti reka bentuk asal. Sebagai contoh, jika sistem itu direka untuk menampung banjir yang berlaku secara purata sekali dalam tempoh lima tahun, penyelenggaraan berkala perlu dilaksanakan bagi memastikan aliran air berjalan lancar apabila keadaan itu berlaku.
“Penyelenggaraan yang tidak mencukupi boleh menyebabkan aliran air tersekat, sekali gus menjejaskan keupayaan sistem berfungsi seperti yang dirancang. Keadaan ini boleh mencetuskan banjir kilat yang lebih serius, khususnya apabila sistem saliran gagal menampung aliran air akibat penyelenggaraan yang tidak sempurna,” katanya.
Justeru, keberkesanan peruntukan Belanjawan 2027 bergantung pada pelaksanaan projek infrastruktur yang bersesuaian, pemeliharaan kawasan tadahan air dan penyelenggaraan berterusan bagi meningkatkan daya tahan kawasan berisiko di Lembah Klang.