
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan MADANI akan terus memperteguh agenda reformasi menerusi penggubalan undang-undang baharu, pengukuhan tatakelola serta peningkatan ketelusan pengurusan kewangan awam bagi memastikan wang dan aset negara diurus secara berintegriti demi kesejahteraan rakyat.
- Penggubalan RUU Entiti Milik Kerajaan untuk mengetatkan tatakelola syarikat kerajaan dan badan berkanun mengurus wang dan aset rakyat.
- Akta Perolehan Kerajaan mulai 2027 mewajibkan pendedahan maklumat projek termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak kepada umum.
- Kutipan bayaran balik pinjaman badan berkanun mesti digunakan semula hanya untuk tujuan dan kumpulan sasaran yang diluluskan.
- Peruntukan RM1.1 bilion memperkukuh SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan badan penguatkuasa lain bagi meningkatkan keupayaan operasi.
Menerusi Belanjawan MADANI Kelima, kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tatakelola entiti yang diamanahkan mengurus wang dan aset rakyat, termasuk syarikat kerajaan serta badan berkanun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrhim berkata, langkah itu bertujuan memastikan pengurusan kewangan lebih telus dan berakauntabiliti, sekali gus mengelakkan skandal seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kemelut Tabung Haji dan FELDA daripada berulang.
“Bagi memperkukuh ketelusan perolehan kerajaan, cadangan Akta Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa mulai 2027 pula akan membolehkan maklumat projek, termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak, dizahirkan kepada umum.
“Kerajaan turut menetapkan bahawa kutipan bayaran balik pinjaman yang disalurkan kepada badan berkanun Persekutuan hendaklah digunakan semula hanya bagi tujuan dan kumpulan sasaran yang diluluskan, termasuk hasil faedah yang dijana daripada dana berkenaan,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, ketetapan itu bagi memastikan dana kerajaan tidak disalahgunakan untuk membiayai perbelanjaan pengurusan badan berkanun, program atau aktiviti lain di luar kelulusan asal.
“Dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, kerajaan juga akan berganding bahu dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat bagi mempercepat pelaksanaan projek menerusi penyatuan dana kerajaan dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Antara tumpuan ialah pelaksanaan bekalan elektrik di kawasan desa dan peluasan capaian internet melalui penglibatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta syarikat telekomunikasi,” tambahnya.
Selain itu, badan penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Majlis Kawalan Perjudian (MYCC) akan diperkukuh dengan peruntukan RM1.1 bilion bagi meningkatkan keupayaan operasi.
Kerajaan turut mengkaji penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia bagi mengenal pasti undang-undang lapuk dan jurang perundangan, termasuk berkaitan kontrak, jualan barangan dan pengantaraan, bagi mempercepat penyelesaian pertikaian.
Dalam aspek perlindungan rakyat, beberapa pembaharuan perundangan turut dilaksanakan, termasuk penggubalan Akta Antibuli dan Akta Keselamatan Dalam Talian, selain memperkukuh peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Pesuruhjaya Kanak-kanak serta perlindungan kepada pemberi maklumat dan saksi.
Kerajaan MADANI juga meneruskan agenda reformasi institusi, termasuk usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya. Bagaimanapun, usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri masih belum memperoleh sokongan dua pertiga di Parlimen.
Hasil pembaharuan tatakelola itu turut disalurkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif, antaranya bantuan tiket penerbangan RM500 kepada mahasiswa, ujian lesen motosikal kelas B2 secara percuma untuk belia miskin serta pengagihan topi keledar percuma.
Kerajaan turut mengumumkan bantuan khas kewangan sekali bayar RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi, termasuk pemandu kereta sewa, serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
Keseluruhannya, agenda reformasi MADANI terus memberi penekanan kepada pengurusan kewangan yang berdisiplin, penguatkuasaan undang-undang dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan, dengan matlamat memastikan setiap peruntukan dan hasil negara dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.