
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif Sukuk Simpanan Runcit Bertoken berasaskan teknologi rantaian blok (blockchain), yang membolehkan rakyat melabur dalam sukuk kerajaan serta memilih sektor yang ingin dibiayai.
- Peruntukan hampir RM700 juta ditingkatkan untuk projek kecil PBT, termasuk naik taraf taman, tandas dan gerai awam.
- Pembinaan gerai MADANI dan pemulihan kompleks penjaja serta pasar awam di beberapa lokasi diprioritikan.
- Lebih 10,000 penyewa premis DBKL nikmati potongan sewa 50 peratus sepanjang 2027; kadar sewa tapak bazar musim perayaan serendah RM400.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi inisiatif itu, pelabur boleh menentukan sama ada dana yang dikumpulkan disalurkan kepada sektor pendidikan, kesihatan atau perlindungan sosial bagi golongan miskin.
“Pendekatan itu membolehkan rakyat terlibat secara langsung dalam pembiayaan keutamaan negara berdasarkan bidang yang ingin mereka sokong”, ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, peruntukan bagi projek kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) ditingkatkan kepada hampir RM700 juta, meliputi kerja menaik taraf taman, tandas dan gerai awam.
Tumpuan turut diberikan kepada pembinaan gerai MADANI serta pembangunan semula beberapa kompleks penjaja dan pasar awam, termasuk Kompleks Penjaja Jalan Chui Yin di Bentong, Pahang; Pasar Buntong di Ipoh, Perak; dan tapak penjaja Hill Trace di Georgetown, Pulau Pinang.
Jelasnya, Perbadanan kemajuan negeri turut melaksanakan kerja naik taraf premis perniagaan, antaranya Kompleks Usahawan Tempatan Kuala Perlis, Arena Niaga di Kunak dan Hentian Telupid di Sabah, serta Medan Selera Keluncur Taman Rekreasi Laut di Kuala Kedah.
Dalam perkembangan sama, Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga akan membangunkan semula pusat penjaja dan gerai di bawah seliaannya, manakala inisiatif Tamu Desa diteruskan bagi membantu usahawan di Sabah dan Sarawak.
Bagi meringankan beban peniaga kecil, lebih 10,000 penyewa premis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menikmati potongan sewa sebanyak 50 peratus sepanjang 2027.
Kemudahan itu meliputi peniaga di pasar awam, medan selera dan pusat penjaja, manakala kadar sewa bagi tapak bazar musim perayaan ditetapkan serendah RM400.