Peruntukan RM21.98 bilion KDN: Tekad kerajaan perkukuh keselamatan dan keamanan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Peruntukan berjumlah RM21.98 bilion yang diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Belanjawan 2027 mencerminkan tekad kukuh Kerajaan MADANI terhadap pengukuhan keamanan dan ketenteraman awam, kekal menjadi keutamaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh kebajikan warga keselamatan, aset keselamatan, kawalan sempadan dan penggunaan teknologi bagi membanteras jenayah.
  • KDN memastikan setiap peruntukan dibelanjakan dengan cekap, telus dan berkesan untuk mencapai matlamat keselamatan.
  • Pertumbuhan ekonomi mesti diterjemah kepada lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, peluang perniagaan dan kawalan kos sara hidup.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peruntukan itu merangkumi aspek kebajikan warga keselamatan, pengukuhan aset keselamatan dan keupayaan kawalan sempadan serta memanfaatkan teknologi bagi membanteras jenayah.

“Keselamatan rakyat dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi.

“Negara yang aman memberi keyakinan kepada rakyat untuk menjalani kehidupan dengan tenteram di samping mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan, pelaburan dan pelancongan,” katanya menerusi kenyataan kementerian hari ini.

Datuk Seri Saifuddin berkata, KDN akan terus memastikan setiap peruntukan Belanjawan 2027 disalurkan dengan cekap, telus dan berkesan.

Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2027, beliau berkata ekonomi negara menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih makmur.

Prestasi pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2027 memberi asas keyakinan terhadap kedudukan ekonomi Malaysia.

“Namun, kejayaan ini mesti diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, peluang perniagaan dan kos sara hidup yang lebih terkawal,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen mengumumkan KDN dan Kementerian Pertahanan, masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM22 bilion.

Datuk Seri Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM490 juta kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan bagi terus memperkukuh keselamatan sempadan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.