Taktik licik sindiket penipuan dalam talian antarabangsa terbongkar

98 individu ditahan susulan serbuan di sebuah pusat peranginan terbiar / Foto RTM

PUTRAJAYA, 6 Oktober – Sebuah pusat peranginan terbiar di Sungai Lembing, Pahang yang dipercayai menjadi markas sindiket penipuan dalam talian diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Premis disewa dengan kos tinggi beroperasi 24 jam, guna janakuasa dan internet satelit bagi mengelak bergantung pada rangkaian tempatan.
  • Sindiket mengupah pengawal untuk memantau keluar masuk dan menempatkan operasi di lokasi terpencil.
  • Rampasan besar termasuk 120 komputer, 100 telefon bimbit, 11 unit Starlink, kamera litar tertutup, kad SIM dan wang tunai.
  • Sejumlah individu, termasuk warga asing dipercayai masuk tanpa dokumen, ditahan; siasatan diteruskan untuk kenal pasti peranan dan tindakan undang-undang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, premis yang disewa dengan anggaran RM30,000 sebulan itu disyaki beroperasi 24 jam sejak kira-kira 3 bulan lalu menggunakan janakuasa dan kemudahan internet satelit bagi mengelak bergantung kepada rangkaian tempatan.

“Ya, lokasi tersebut agak terpencil. Mereka juga mengupah individu seperti orang suruhan untuk memantau sebarang pergerakan keluar masuk ke lokasi berkenaan.

“Buat masa ini, kita telah menahan pemilik premis tersebut. Sekiranya kita mempunyai bukti yang mencukupi, kita akan mengenakan pertuduhan dan mengambil tindakan terhadap mereka kerana melindungi warga asing.”

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Seramai 98 individu ditahan, termasuk 95 warga asing dan tiga rakyat tempatan dalam operasi yang dijalankan pada 5 Oktober lalu.

Antara yang ditahan ialah warga China, Myanmar, Hong Kong dan Indonesia yang dipercayai memasuki negara ini tanpa dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Hasil risikan selama sebulan, pihaknya turut menemukan 120 set komputer, 100 telefon bimbit dan 11 set Starlink.

Turut dirampas kamera litar tertutup, kad SIM serta wang tunai RM5,000.

Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti peranan setiap individu yang ditahan serta menentukan tindakan perundangan yang bersesuaian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.