
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyelaras semula laluan kerjaya graduan bagi memastikan peluang pekerjaan yang tersedia sepadan dengan kelayakan akademik dan keperluan pasaran pekerjaan.
- Tangani ketidakpadanan antara bidang pengajian dan pekerjaan secara berterusan untuk menyesuaikan ribuan graduan memasuki pasaran kerja.
- Kerjasama rentas kementerian (KPT, Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia) bagi menyelaraskan graduan dengan pekerjaan sesuai dan kelayakan mereka.
- Isu pelarasan gaji graduan dibincangkan di peringkat Kabinet, pengumuman kadar gaji sewajarnya oleh Perdana Menteri akan diambil kira.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, usaha itu selaras dengan arahan Perdana Menteri dan menjadi antara tumpuan kerajaan dalam memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Menurut beliau, isu ketidakpadanan antara bidang pengajian dengan pekerjaan perlu ditangani secara berterusan, mengambil kira ribuan graduan yang memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun.
Usaha itu memerlukan kerjasama rentas kementerian, khususnya antara KPT, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia.
“Langkah yang kita ambil adalah melalui kerjasama dengan beberapa kementerian lain kerana penyelarasan antara kementerian amat penting. Antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia.
“Tiga kementerian ini memainkan peranan utama dalam memastikan graduan yang keluar dari universiti dan politeknik dapat diselaraskan dengan bidang pekerjaan yang bersesuaian, selaras dengan kelayakan yang mereka miliki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di sini.
Datuk Seri Dr Zambry mengakui, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan graduan universiti dan lepasan politeknik memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan serta bidang pengajian masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata isu pelarasan gaji graduan turut dibincangkan di peringkat Kabinet dan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu akan diambil kira dalam pelarasan gaji yang bakal diumumkan Perdana Menteri, termasuk aspek gaji yang sewajarnya diterima graduan berdasarkan kelayakan mereka.
Mengenai Belanjawan 2027, beliau berharap dokumen fiskal itu menyediakan tambahan peruntukan bagi memenuhi keperluan pembangunan serta kebajikan pelajar di institusi pendidikan tinggi.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah penambahbaikan kemudahan di universiti, politeknik dan kolej komuniti, termasuk kerja baik pulih kemudahan yang telah digunakan untuk tempoh lama.
Selain itu, penyediaan kemudahan penginapan pelajar turut menjadi antara fokus utama kementerian.
“Yang kita harapkan juga akan ada beberapa peruntukan yang berkaitan dengan pembangunan. Sebagai contoh, kita perlu melihat aspek kebajikan pelajar dari segi kedudukan tempat di universiti-universiti dan politeknik serta kolej komuniti yang memerlukan langkah-langkah baik pulih.
“Termasuk juga soal menyediakan tempat-tempat penginapan kepada pelajar-pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Zambry berkata, kerajaan akan terus memperkasakan sambutan Hari Akademia yang diraikan pada 5 Oktober setiap tahun bagi menjadikannya acara unggul dalam meraikan sumbangan warga akademik serta keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Katanya, sambutan itu bukan sahaja meraikan golongan akademia, malah menghargai sumbangan ilmuwan, sarjana, penyelidik dan pelajar dalam pembangunan ilmu serta negara.
Menurut beliau, ekosistem pendidikan tinggi negara merangkumi universiti, politeknik dan kolej komuniti, selain laluan matrikulasi sebagai pendidikan prauniversiti.
Peranan akademia bukan terhad kepada pengajaran dan pembelajaran, sebaliknya turut merangkumi penyelidikan, penyampaian ilmu serta pemindahan ilmu kepada masyarakat.
Hasil penyelidikan di institusi pendidikan tinggi perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang dapat dimanfaatkan masyarakat dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
“Ini sangat penting, khususnya bagaimana kita hendak melangkah ke satu tahap lagi, iaitu menerjemahkan apa yang ada di universiti, hasil daripada penyelidikan, supaya dapat disampaikan kepada masyarakat dan dilaksanakan serta berusaha untuk membangunkan negara,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan akan memastikan sambutan Hari Akademia terus diperkasa dan diraikan secara lebih menyeluruh oleh semua warga dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.