
SEPANG, 4 Oktober – Perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 bukan sahaja mencetuskan debaran dalam kalangan peminat sukan permotoran, malah menyemarakkan harapan agar saingan berprestij itu kembali secara rasmi ke Malaysia.
- Kehadiran lebih 260,000 penonton menunjukkan minat padu peminat tempatan terhadap acara F1 di Litar Antarabangsa Sepang.
- Cuaca basah dan aksi di litar menjadikan perlumbaan istimewa, terutamanya bagi pelumba yang belum lalui 'wet race'.
- Peminat berharap kerajaan membawa kembali F1 ke Malaysia; Litar Sepang sedia sebagai tempat bertaraf antarabangsa.
- Perlu penambahbaikan pengangkutan dan ruang parkir untuk menampung jumlah penonton; acara beri impak positif pada ekonomi dan pelancongan.
Kehadiran lebih 260,000 penonton sepanjang perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuktikan sukan permotoran bertaraf dunia itu masih mempunyai tarikan kuat dalam kalangan peminat tempatan.
Bagi Azan Ghaoz Effendy, keadaan cuaca dan aksi di litar Sepang menjadikan perlumbaan kali ini cukup istimewa, khususnya apabila pelumba berdepan keadaan litar basah.

“Inilah cuaca Sepang, litar Sepang, suasana Sepang, sememangnya 10 daripada 10. Kesukaran untuk mereka memang nampak sangat, terutamanya yang tak pernah lalui ‘wet race’.
“Untuk Hamilton, sayang sekali, tetapi untuk Max Verstappen, ini memang litar Red Bull,” katanya.
Sementara itu, Mohd Helmie Arof berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membawa kembali perlumbaan Formula 1 ke Malaysia, memandangkan negara sudah mempunyai SIC sebagai litar bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya Malaysia kembali menjadi tuan rumah ialah aspek pengangkutan dan penyediaan ruang parkir bagi menampung jumlah penonton yang besar.

“Litar dah ada, kalau boleh biar F1 buat balik dekat Malaysia. Cuma kali ini aspek pengangkutan agak mencabar sebab ramai yang mengadu kesesakan dan ruang parkir tidak mencukupi.
“Apapun dari segi sambutan memang padat dan bagus untuk ekonomi serta pelancongan negara,” katanya.
Bagi Farah Badrul Hisham, pengalaman menyaksikan perlumbaan secara langsung amat berbaloi meskipun terpaksa berdepan kesesakan dan beratur panjang.
“Sangat berpuas hati sebab kami dah jadi peminat agak lama. Puas hati tengok Max menang, Petronas menang, Lewis menang… penuh drama!
“Biarlah kita orang beratur ke apa ke, memang berbaloi,” katanya kepada pemberita RTM.

Seorang lagi peminat, Aminuddin Janai, menyifatkan angka kehadiran lebih 260,000 penonton sebagai perkembangan yang memberangsangkan dan berharap perlumbaan Formula 1 dapat kembali ke Malaysia.
“Saya baca tadi rekod kehadiran mencecah 261,000 penonton yang datang ke Sepang kali ini. Angka itu sangat merangsangkan.
“Kita sangat berharap kerajaan dapat pertimbangkan semula untuk bawa balik Formula 1 ke Malaysia,” katanya.
Sambutan luar biasa itu sekali gus mengubat kerinduan peminat tempatan terhadap aksi Formula 1, selain membuktikan Litar Antarabangsa Sepang masih mempunyai nilai dan daya tarikan sebagai destinasi sukan permotoran bertaraf dunia.
Kehadiran ratusan ribu penonton juga dilihat memberi limpahan positif kepada sektor pelancongan serta ekonomi setempat, sekali gus mengukuhkan aspirasi untuk melihat Formula 1 kembali beraksi secara rasmi di Malaysia.