
KENINGAU, 4 Oktober – Pemantauan jerebu dan titik panas di seluruh negara dipertingkat susulan fenomena Super El Niño yang dijangka menyebabkan peningkatan suhu serta risiko kebakaran.
- Operasi Pembenihan Awan bersama NADMA untuk kurangkan partikel udara dan tingkatkan paras air empangan.
- Jabatan Alam Sekitar memperketat penguatkuasaan termasuk kompaun segera terhadap pembakaran terbuka.
- Kerajaan menyeru penglibatan semua lapisan masyarakat; kesedaran tanggungjawab alam sekitar diperkukuh.
- Rundingan serantau diteruskan bagi menyelaras bantuan tenaga kerja tangani kebakaran hutan dan pencemaran asap rentas sempadan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementeriannya turut memperkukuh usaha menangani jerebu menerusi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Kita telah menggerakkan agensi kita, sebagai contoh, dengan pemantauan. Kita telah melaksanakan bersama NADMA beberapa operasi pembenihan awan, bukan saja untuk mengurangkan partikel dalam udara di kawasan yang agak banyak jerebu, tetapi kita juga menyasarkan kawasan empangan air untuk meningkatkan paras air di kawasan-kawasan yang agak kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Alam Kita Keningau 2026, di sini.
Menurut Datuk Seri Arthur, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut diarah memperketat penguatkuasaan, termasuk mengenakan kompaun serta-merta terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka.
Tegas beliau, usaha menangani jerebu dan memelihara kelestarian alam sekitar juga tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar akan terus diperkukuh bagi memastikan kualiti alam sekitar serta kesihatan awam sentiasa terpelihara.
Di peringkat serantau pula, rundingan dengan negara jiran diteruskan bagi menyelaras bantuan tenaga kerja dalam usaha menangani kebakaran hutan yang berpotensi menyebabkan pencemaran asap rentas sempadan.