
KLANG, 1 Oktober – Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan nilai rampasan dan saman berjumlah RM525 juta menerusi Op Taring Gelora sepanjang Januari hingga September lalu.
- PPM merekodkan 7,627 kejayaan penguatkuasaan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah di perairan Malaysia.
- PPM melakukan 2,707 tangkapan, mencerminkan komitmen berterusan membanteras kegiatan jenayah di perairan negara.
- PPM akan menerima dua kapal induk Police Transport Vessel bernilai kira-kira RM100 juta pertengahan tahun depan.
- Setiap kapal akan ditempatkan di Sabah dan Semenanjung sebagai kapal logistik dan pembekal bahan api kepada aset rondaan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam tempoh berkenaan, PPM merekodkan 7,627 kes kejayaan penguatkuasaan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah di perairan Malaysia.
“Kejayaan itu turut melibatkan 2,707 tangkapan, sekali gus mencerminkan komitmen PPM membanteras kegiatan jenayah di perairan negara,”katanya pada sidang media selepas sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Ke-79 PPM di Markas Operasi PPM Wilayah 1, Pelabuhan Klang, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan PPM bakal menerima dua kapal induk atau ‘mothership’ jenis ‘Police Transport Vessel’ (PTV) bernilai kira-kira RM100 juta pada pertengahan tahun depan.
Katanya, masing-masing sebuah kapal akan ditempatkan di Sabah dan Semenanjung bagi berfungsi sebagai kapal logistik serta pembekal bahan api kepada aset rondaan yang lebih kecil dan fleksibel.
Penambahan aset berkenaan dijangka memperkukuh keupayaan PPM dalam memantau serta mengawal keselamatan perairan negara.