
KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Lebih tujuh juta pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal menikmati tiga penambahbaikan faedah di bawah pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2017 (Akta 800), berkuat kuasa hari ini.
- Peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan, dari kadar sebelumnya.
- Lonjakan had maksimum Fi Latihan kepada RM7,000 dan peningkatan Elaun Latihan kepada RM30 sehari.
- Pengenalan Elaun Bantuan Mobiliti sebanyak RM1,000 sekali bayar untuk pekerjaan baharu melebihi 100 kilometer dari kediaman.
PERKESO menerusi kenyataan memaklumkan, pencarum yang kehilangan pekerjaan dan memenuhi syarat kelayakan boleh memohon faedah berkenaan mengikut kadar baharu.
Menurutnya, antara penambahbaikannya termasuk peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), berbanding 25 peratus sebelum ini.
“Penambahbaikan yang menyediakan faedah secara purata RM3,300 bagi setiap individu ini bakal memanfaatkan lebih tujuh juta pencarum dan diyakini mampu merancakkan pasaran buruh negara, selain menjadi pemangkin ke arah tempoh peralihan kerjaya yang lebih cepat.
“Turut diperkukuh ialah lonjakan had maksimum Fi Latihan kepada RM7,000 berbanding RM4,000, dan peningkatan Elaun Latihan kepada RM30 sehari.
“Pindaan ini juga menyaksikan pengenalan faedah baharu iaitu Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar kepada pencarum yang hilang pekerjaan serta menerima faedah SIP dan kemudian mendapat kerja baharu di lokasi yang jaraknya melebihi 100 kilometer dari kediaman,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pencarum yang kehilangan pekerjaan boleh mengemukakan permohonan faedah berkenaan secara dalam talian melalui portal LINDUNG Kerjaya (https://lindungkerjaya.perkeso.gov.my/) atau mana-mana kaunter PERKESO berhampiran.
Mengulas lanjut, PERKESO memaklumkan reformasi terbaharu itu bukan sekadar mengukuhkan jaringan perlindungan dalam dinamika pasaran buruh masa kini, sebaliknya turut disokong mekanisme peralihan kerjaya secara menyeluruh.
Katanya, penambahbaikan berkenaan turut disokong perkhidmatan pemadanan pekerjaan, khidmat nasihat kerjaya, latihan semula dan peningkatan kemahiran menerusi MYFutureJobs.
“Pada masa sama, PERKESO akan terus memperkukuh fungsi MYFutureJobs dengan memanfaatkan data dan maklumat pasaran buruh bagi membantu pencarum mengenal pasti peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran, pengalaman dan keperluan industri.
“Pendekatan ini penting supaya tempoh peralihan kerjaya berupaya disegerakan, manakala kemahiran yang dimiliki terus relevan dengan permintaan majikan dan perubahan struktur ekonomi,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, pindaan Akta 800 yang dikenali sebagai Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 mendapat perkenan diraja pada 30 Ogos lalu dan diwartakan pada 15 September lepas.
Pindaan itu melengkapkan agenda Kerajaan MADANI ke arah mengukuhkan perlindungan sosial secara lebih menyeluruh, selari pelaksanaan LINDUNG 24 Jam pada 1 Jun lalu yang turut meliputi risiko kemalangan di luar waktu bekerja.