Kematian pelajar Tingkatan Dua: Tiada pihak akan dilindungi – Fadhlina

Foto FB Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 26 September -Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang.
  • Polis dan Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama penuh pihak sekolah.
  • KPM meneliti aspek keselamatan, pematuhan tatacara serta menyediakan kaunseling dan sokongan psikososial.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang.

Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KPM serta pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus.

“Saya merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian seorang murid Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Seluruh warga KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya telah bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati ini,” katanya menerusi kenyataan.

Di peringkat KPM, Datuk Seri Fadhlina berkata aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah akan diteliti secara menyeluruh.

KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian.

Terdahulu, Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia selepas dipercayai cedera dalam satu kejadian di sebuah asrama sekolah di Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Datuk Alzafny Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 8.00 malam, 25 September, sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.

Susulan kejadian itu polis membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.