PM ibaratkan persahabatan Malaysia-China seperti bunga orkid

(Foto kiri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Li Qiang. (Foto kanan) Jambangan orkid yang diletak pada pertemuan dua hala kedua-dua pemimpin berkenaan/ Facebook: Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan Malaysia-China yang terjalin selama 52 tahun terus berasaskan saling menghormati, kepercayaan dan persefahaman, selain kepentingan perdagangan dan diplomasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Premier China Li Qiang di Hangzhou.
  • Orkid Phalaenopsis disebut sebagai hiasan diplomatik dan simbol hubungan dalam majlis utama di China.
  • Ungkapan Jīn Lán Zhī Jiāo (persahabatan sejati) melambangkan kesetiaan dan persefahaman antara kedua negara.
  • Anwar menyeru agar persahabatan terus dibaja dan diperkukuh demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata perkara itu dizahirkannya ketika mengadakan pertemuan dua hala bersama Premier China, Li Qiang di West Lake State Guest House di Hangzhou.

Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, Datuk Seri Anwar berkata bunga orkid khususnya Phalaenopsis atau Orkid Rama-rama, sering digunakan sebagai perhiasan dalam majlis diplomatik utama di China.

Beliau berkata dalam bahasa Cina, orkid disebut *Lán Huā* (兰花), manakala ungkapan *Jīn Lán Zhī Jiāo* (金兰之交) membawa maksud persahabatan sejati yang berteraskan kesetiaan dan persefahaman.

Menurut Datuk Seri Anwar, falsafah berkenaan mencerminkan hubungan Malaysia-China yang bukan sekadar tertumpu kepada kepentingan ekonomi dan diplomasi, tetapi turut diperkukuh melalui hubungan yang telah terjalin merentas zaman.

“Seperti orkid yang mekar dan menyebarkan harum, demikianlah persahabatan Malaysia dan China yang harus terus dibaja dan diperkukuh,” katanya.

Beliau berkata hubungan kedua-dua negara perlu terus diperkukuh demi kepentingan bersama, khususnya dalam memastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri berada di China sempena lawatan kerja selama tiga hari beliau ke Shanghai dan Hangzhou yang berakhir semalam.

Lawatan kerja atas jemputan kerajaan China itu merupakan lawatan keempat Datuk Seri Anwar ke negara itu sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah AS$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.