
PUTRAJAYA, 21 September – Malaysia bakal menjadi tuan rumah Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) ke-27 yang akan berlangsung di Putrajaya dari 16 hingga 20 November depan.
- Tema persidangan: Mensejahterakan Masyarakat dan Memperkasa Nilai Madani.
- Menghimpunkan kepakaran dunia Islam untuk meneliti cabaran semasa dan merumuskan penyelesaian bermanfaat kepada masyarakat dan umat.
- Perbincangan berpandukan sumber Syariah, Maqasid al-Syariah, Ijtihad Jama‘i dan wasatiyyah, mengambil kira realiti semasa.
- Fokus isu termasuk AI, penyuntingan genetik, halal, etika kesihatan, media digital dan kewangan sosial Islam; memperkukuh jaringan keilmuan dan pengalaman negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, dalam kenyataan memaklumkan persidangan anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama International Islamic Fiqh Academy (IIFA) itu mengangkat tema ‘Mensejahterakan Masyarakat dan Memperkasa Nilai Madani’.
Persidangan berkenaan menghimpunkan kepakaran dunia Islam bagi meneliti cabaran semasa serta merumuskan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat dan umat.
Perbincangan akan berasaskan sumber serta prinsip Syariah dengan mengambil kira realiti semasa, selain dipandu Maqasid al-Syariah, Ijtihad Jama‘i dan Wasatiyyah.
Pendekatan itu bertujuan memastikan kemajuan ilmu, sains dan teknologi berkembang seiring dengan nilai, etika serta kemaslahatan manusia.
Antara isu yang akan diberi perhatian termasuk kecerdasan buatan (AI), penyuntingan genetik dan teknologi DNA, halal, etika penjagaan kesihatan dan perubatan, komunikasi serta media dalam era digital dan kewangan sosial Islam.
Persidangan itu turut dijangka memperkukuh peranan Malaysia dalam jaringan keilmuan dan kepakaran dunia Islam, selain membuka ruang perkongsian pengalaman negara dalam pembangunan institusi Islam serta pengurusan masyarakat majmuk.