
KUALA LUMPUR, 19 September – Usaha mengimbangi keperluan rakyat dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dengan kemampanan fiskal negara dijangka terus menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
- Reformasi subsidi melalui inisiatif BUDI MADANI untuk menyalurkan bantuan lebih bersasar dan mengurangkan ketirisan.
- Kerajaan perlu menilai semula mekanisme subsidi, kenal pasti sektor terlibat serta kriteria penerima untuk kawal perbelanjaan fiskal.
- Bantuan langsung seperti STR dan SARA sebagai jaringan keselamatan sosial; tingkatkan pendidikan, kesihatan, kemahiran dan peluang ekonomi untuk pendapatan mampan.
Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Norlin Khalid berkata, reformasi subsidi menerusi inisiatif BUDI MADANI antara langkah kerajaan memastikan bantuan dan subsidi disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping mengurangkan ketirisan.
Menurut beliau, pendekatan subsidi bersasar penting bagi memastikan bantuan kerajaan dapat dinikmati golongan yang memerlukan, tanpa memberi tekanan berlebihan terhadap kedudukan fiskal negara.
“Sekiranya subsidi diberikan, sudah tentu harga barangan dapat dikekalkan pada paras lebih rendah. Sebagai contoh, apabila kos bahan api meningkat, kerajaan menanggung sebahagian daripada kos tersebut menerusi subsidi.
“Keadaan itu secara tidak langsung membantu meningkatkan kuasa beli rakyat, sekali gus membolehkan pengguna mendapatkan barangan pada harga yang lebih rendah dan mampu milik.
“Bagaimanapun, ketika negara berdepan krisis bekalan global, kerajaan perlu menanggung peruntukan subsidi yang besar. Justeru, kerajaan perlu menilai semula mekanisme pemberian subsidi, termasuk mengenal pasti sektor yang terlibat serta kriteria penerima yang layak.
“Oleh itu, rakyat juga perlu memahami rasional langkah berkenaan bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, selain menyokong usaha membangunkan ekonomi negara,” katanya selepas program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
Tambah beliau, bantuan langsung seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus berperanan sebagai jaringan keselamatan sosial bagi membantu isi rumah memenuhi keperluan asas.
Bagaimanapun, usaha memperkukuh kuasa beli rakyat tidak hanya bergantung kepada bantuan dan subsidi.
Sebaliknya, pembangunan pendidikan, kesihatan, kemahiran serta peluang ekonomi turut memainkan peranan dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan isi rumah untuk tempoh lebih panjang.