
PULAU BIDONG, 19 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan Kerjasama Yayasan Perkasa Siswa dan Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) perkukuh usaha menangani masalah mental dalam kalangan pelajar menerusi Konvensyen I-PEERS 2026: Sembuh Bersama Alam.
- Menekankan terapi berasaskan alam seperti terapi pasir untuk menyokong kesejahteraan mental pelajar.
- Program tiga hari menyediakan modul praktikal dan pendedahan interaktif bagi memperkukuh sokongan kesihatan mental.
- Pembimbing Rakan Siswa dilatih untuk menjadi agen sokongan rakan sebaya membantu rakan menghadapi cabaran psikologi.
Konvensyen berkenaan mengetengahkan pendekatan terapi berasaskan alam semulajadi di sekitar Pulau Bidong.
Ia melibatkan lebih 150 peserta daripada 20 universiti awam itu memberi tumpuan terhadap kesejahteraan mental.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain, pemilihan Pulau Bidong sebagai lokasi konvensyen boleh memberikan pengalaman berbeza kepada peserta.
“Sepanjang tiga hari program ini para peserta telah didedahkan dengan pelbagai program dan juga modul-modul termasuk terapi pasir yang menjadi satu tarikan utama kepada para peserta. Kerana kita tahu pelajar-pelajar ini, selain pergi ke kuliah dan sebagainya, jadi mereka perlukan pendedahan-pendedahan sebegini”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM pada Majlis Penutup Konvensyen I-PEERS 2026: Sembuh Bersama Alam di Pulau Bidong.
Turut hadir, Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Sementara itu, Felo Bersekutu, Pensyarah Program Kaunseling UMT, Dr. Mohd Radhi Abu Shahim berkata pelantikan Pembimbing Rakan Siswa (PRS) turut menjadi usaha bagi menggalakkan inovasi perkhidmatan psikologi dalam kalangan pelajar.
“Berdasarkan dalam psikologi, terutamanya perkembangan remaja, kawan-kawan ini adalah satu agen orang yang signifikan. Kita tahu, bila kita masuk universiti tiada ibu bapa, jadi rakan senang menjadi orang yang paling penting dan dia boleh menjadi sumber kekuatan dan juga boleh menjadi punca masalah.
“Jadi dalam I-PEERS ini kita hendak wujudkan, di samping kita ada ilmu. Jadi dengan ilmu itu boleh menjadi rakan yang berkesan untuk membantu rakan-rakannya yang lain”, katanya.